FGV rekod untung sebelum cukai RM60 juta

FGV rekod untung sebelum cukai RM60 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FGV Holdings Bhd. (FGV) merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM60 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023.

FGV dalam kenyataan media turut melaporkan keuntungan operasi sebelum perubahan nilai wajar dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dan rosot nilai sebanyak RM102 juta untuk tempoh yang ditinjau.

Katanya, ia berikutan persekitaran perniagaan yang mencabar, margin yang lebih kecil dalam sektor perladangan dan peningkatan kos pengeluaran dalam sektor gulanya.

“Namun begitu, sektor logistik mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi kerana pendapatan sewa tangki yang bertambah baik, minyak premium dan tan yang dibawa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Izam Mansor berkata, meskipun lonjakan harga minyak sawit mentah (MSM) semakin berkurangan, serta cabaran lain yang dihadapi Kumpulan, pihaknya berbesar hati mengumumkan suku pertama yang menguntungkan bagi 2023.

“Walau bagaimanapun, kami menjangkakan bulan-bulan akan datang tahun ini akan kekal mencabar dan FGV merancang untuk memanfaatkan momentum permulaan ini bagi meneruskan baki tahun ini dan memenuhi jangkaan pihak berkepentingan kumpulan,” katanya.

Sementara itu, FGV mencatat keuntungan operasi sebanyak RM82 juta bagi sektor perladangan pada S1 2023 dengan operasi huluan sektor itu terkesan oleh margin produk sawit yang lebih rendah berikutan peningkatan 45 peratus dalam kos MSM ke pintu kilang kepada RM2,944 satu tan.

Menurut FGV, sektor logistik merekodkan keuntungan operasi lebih tinggi berjumlah RM32 juta, dengan peningkatan sebanyak 19 peratus berbanding RM27 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, FGV berkata, sektor gula mencatatkan kerugian operasi sebanyak RM24 juta berikutan penurunan pendapatan tahun ke tahun sebanyak RM588 juta daripada RM593 juta sebelumnya disebabkan pengurangan jumlah jualan eksport bagi mengutamakan permintaan jualan tempatan.

Menurut Nazrul Izam, menuju ke hadapan FGV menjangkakan harga MSM kekal stabil dalam jangka masa terdekat, antara RM3,800 hingga RM4,000 setiap tan.

Namun, katanya, FGV akan kekal berhati-hati dengan keadaan cuaca buruk yang boleh menjejaskan pengeluaran minyak sawitnya, seperti cuaca El Nino menuju akhir tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×