CYBERJAYA: Syarikat jualan langsung berorientasikan kesihatan dan kesejahteraan global, DXN Holdings Bhd. (DXN) mahu mengembangkan pasaran dan jumlah ahli globalnya.
Ketika ini, DXN sudah bertapak di 48 buah negara dengan mempunyai sebanyak 79 cawangan jualan serta seramai 14.9 juta ahli berdaftar.
Menurut Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin, Kumpulan menyasarkan tiga pendekatan utama yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Kami berhasrat untuk meliputi semua benua di dunia melalui pengembangan pangkalan ahli atau menjalin kerjasama dengan agensi pengedar luar yang mempunyai kelebihan pasaran tempatan, pengetahuan dan rangkaian dengan pihak berkepentingan tempatan.
“Buat masa ini DXN mempunyai sebanyak 452 SKU dalam portfolio produk dengan 327 daripada dikilangkan sendiri.
“Justeru, untuk terus meningkatkan penawaran produk, kami komited terhadap R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan berusaha untuk memastikan kami mampu memenuhi keperluan pengguna yang berubah-ubah serta meningkatkan penglibatan ahli,” katanya menerusi sidang akhbar di DXN Cyberville, hari ini.
Beliau berkata, 10 pasaran terbesar DXN ketika ini meliputi Peru dengan kira-kira tiga juta ahli diikuti Mexico, Bolivia, India, Morocco, Dubai, Malaysia dan Filipina.
Jelasnya, Kumpulan juga membangunkan perniagaan tersebut secara organik yang mana DXN mempunyai perbezaan serta keunikan tersendiri berbanding pesaing lain.
“Hasil dijana sepenuhnya daripada jualan produk dan DXN tidak mengenakan sebarang yuran ahli atau yuran tahunan kepada mereka yang berdaftar.
“Malah, kami menyediakan sebuah platform global iaitu ‘Satu Pasaran Satu Dunia’ kepada seluruh ahli bagi membantu menjalankan usaha jualan langsung dan mengembangkan jualan antarabangsa mereka,” ujarnya.
Dalam pada itu, Siow Jin berpuas hati dengan kejayaan penyeraian semula DXN di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
“Kami percaya penyenaraian semula ini akan membuka peluang baharu untuk perniagaan, membolehkan kami meningkatkan lagi keterlihatan korporat dan akses kepada pasaran baharu.
“Kami juga terus memberi tumpuan untuk menyampaikan produk kesihatan dan kesejahteraan yang berkualiti kepada pelanggan di seluruh dunia dan memberikan pulangan yang luar biasa kepada para pemegang saham mengikut nisbah pembayaran dasar dividen antara 30 hingga 50 peratus daripada keuntungan selepas cukai,” ujarnya.
Pada Jumaat lalu, media melaporkan tawaran awam permulaan (IPO) DXN Holdings Bhd berjumlah 100 juta saham untuk permohonan orang awam Malaysia, yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia terlebih langgan sebanyak 3.2 kali.
Kumpulan itu berkata, ia menerima sejumlah 12,146 permohonan untuk 420.12 juta saham terbitan, sebelum penyenaraian pada 19 Mei ini. – UTUSAN










