PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) yang menyifatkan cadangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan sebanyak 20 peratus tidak berasas, menggesa Jemaah Menteri menolak cadangan itu.
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, tumpuan sepatutnya dilakukan untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan membantu perniagaan serta golongan pekerja menjadi lebih produktif.
Katanya, sebarang kenaikan caruman KWSP oleh majikan ketika ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan, bukan sahaja tidak produktif malah akan mendatangkan lebih banyak mudarat kepada ekonomi negara, perniagaan, pekerjaan dan rakyat.
“Pemulihan ekonomi negara pasca pandemik masih rapuh. Walaupun ekonomi secara kasarnya telah pulih ke tahap tahun 2019, perusahan kecil dan sederhana (PKS) terus ketinggalan di belakang syarikat-syarikat yang lebih besar.
“Sebagai contoh, statistik 2021 menunjukkan PKS hanya berkembang sebanyak satu peratus berbanding 4.4 peratus untuk syarikat yang lebih besar.
“Pemulihan yang tidak seimbang ini diburukkan lagi dengan peningkatan kos yang melanda PKS,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jemaah Menteri dijangka membincangkan cadangan mengenai tambahan peratusan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus waktu ini.
Rentetan itu, pelbagai pihak membantah kerana merasakan cadangan itu tidak masuk akal kerana ia boleh ‘membunuh’ perusahaan makro, kecil dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Mengulas lanjut, William berkata, kerajaan perlu diingat bahawa PKS terpaksa menanggung kenaikan gaji minimum sebanyak dua kali sejak 2020.
Menurutnya, PKS juga dipaksa memberikan faedah sampingan yang lebih tinggi, termasuk cuti bersalin yang lebih lama dan ambang yang lebih rendah untuk bayaran lebih masa.
“Kami masih menunggu jawapan daripada kerajaan kepada rayuan kami agar kos tambahan ini diberi subsidi seperti yang diamalkan di Singapura dan United Kingdom (UK),” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya turut menolak cadangan caruman KWSP bahagian majikan dinaikkan secara berperingkat.
“Kami turut menolak cadangan ini. Kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh terus dijadikan ‘tebusan’ oleh kumpulan oportunis dan golongan peniaga kita tidak boleh mengambil pendekatan ‘tolak ansur’ setiap kali cadangan yang tidak masuk akal dikemukakan,” jelasnya. – UTUSAN










