PETALING JAYA: Berjaya Land Berhad (BLand) memperkenalkan Berjaya Rail Sdn. Bhd. (Berjaya Rail), sekali gus menandakan hasratnya untuk menceburi perniagaan rel, khususnya dalam projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR).
Menurut BLand, syarikat pada mulanya akan terlibat dalam latihan permintaan maklumat, yang dikendalikan oleh MyHSR Corporation Sdn. Bhd, di bawah Kementerian Kewangan.
Melalui usaha sama ini, Berjaya Rail akan menjalankan perniagaan melibatkan pembinaan kereta api dan kereta api bawah tanah, reka bentuk, pembekalan dan pemasangan sistem kereta api dan pembangunan hartanah berorientasikan transit.
Syarikat juga akan menyediakan perkhidmatan perundingan dan latihan untuk penyelesaian teknikal yang berkaitan.
Berjaya Rail telah melantik Farizul Baharom sebagai Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya.
Beliau mempunyai pengalaman daripada pelbagai jawatan yang disandang sebagai Penasihat Khas Menteri Pengangkutan, Ketua Pejabat Pengurusan Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Prasarana Malaysia Berhad.
Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Perundangan dan Ketua Rel Rentas Sempadan untuk Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Sistem Transit Rapid (RTS) dalam Pengangkutan Awam Darat Agensi (SPAD) dan pelbagai lagi peranan dalam Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Prokhas Sdn. Bhd. dan Jabatan Peguam Negara Malaysia.
Selain kepimpinan Farizul, beliau akan disertai oleh lembaga pengarah berpengalaman dalam bidang kejuruteraan, kewangan dan perbankan, pembangunan hartanah, dan rundingan dua hala merentas sempadan untuk infrastruktur dan perkhidmatan pengangkutan. – UTUSAN










