AmBank kekal jangkaan ringgit RM4.20 hujung tahun ini

AmBank kekal jangkaan ringgit 4.20 berbanding dolar hujung tahun ini

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) mengekalkan jangkaannya bahawa ringgit akan mengakhiri tahun 2023 dalam julat RM4.20 hingga RM4.30 meskipun mata wang tempatan dikatakan bakal jatuh ke paras RM5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif AmBank Group, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, ringgit akan berada di paras berkenaan selepas melihat kepada perspektif asas ekonomi dan juga unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus tahun ini.

“Kami fikir dari segi asas ekonomi yang kukuh selain juga unjuran KDNK sebanyak 4.5 peratus tahun ini, kenapa tidak mata wang tempatan kita kembali ke paras berkenaan.

“Biarpun ada yang mengatakan ringgit akan naik sehingga RM5 berbanding dolar AS, kami tidak rasa ia akan berlaku kerana asas ekonomi kita kukuh dan kerana itu kami kekalkan jangkaan ringgit akan berada di paras RM4.20 hingga RM4.30 pada 31 Disember 2023,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, AmBank akan memberikan tumpuan kepada segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta runcit terpilih bagi tahun kewangannya berakhir 31 Mac 2024 (FY2024).

Beliau berkata, Kumpulan itu percaya masih terdapat peluang pertumbuhan dalam segmen PKS terutamanya deposit dan ia akan dimanfaatkan bagi menyokong pertumbuhan FY2024.

“Kami mahu menumpukan peluang yang ada untuk berkembang dalam segmen ini terutamanya ketika pemulihan perdagangan berterusan selaras dengan seruan kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan infrastruktur.

“Meskipun pertumbuhan keseluruhan akan lebih perlahan tahun ini berbanding 2022 saya rasa masih ada peluang untuk berkembang terutamanya PKS,” katanya.

Semalam, AmBank Group mengumumkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) kumpulan berkenaan meningkat 15.5 peratus kepada RM1.735 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.