PETALING JAYA: Negeri Sabah, melalui syarikat milik penuhnya SMJ Sdn. Bhd. (SMJSB), dan Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bagi pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn. Bhd. (PC FSSB) dengan nilai RM1.2 bilion.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif SMJSB, Dr. Dionysia Aloysius Kibat dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mohd. Yusri Mohamed Yusof.
Dionysia Aloysius berkata, penandatanganan SPA itu memberikan peluang untuk kerjasama selanjutnya.
“Peluang ini akan lebih memperkukuhkan hubungan kerja kita antara PCG dan Negeri Sabah serta membuka potensi untuk kerjasama serupa pada masa depan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, pihaknya juga yakin kerjasama itu akan lebih melanjutkan pemacuan pembangunan dalam Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), untuk mencipta lebih banyak manfaat ekonomi kepada komuniti-komuniti sekitar di Sabah.
PC FSSB ditubuhkan pada 2011 untuk membina, memiliki, dan mengendalikan kompleks pengeluaran amonia dan urea yang bersepadu di SOGIP di Sipitang, Sabah.
PC FSSB mempunyai kemudahan pengeluaran ammonia dan urea berskala dunia, direka untuk menghasilkan ammonia dan urea sebanyak 1.9 juta tan metrik setahun.
Ia merupakan loji ammonia dan urea “single train” terbesar di Asia Tenggara, dan loji urea ketiga terbesar di Asia Pasifik. Ia merangkumi tanah seluas 211 ekar di SOGIP, berhampiran dengan pasaran pertumbuhan utama di Asia Pasifik.
PC FSSB merupakan pemangkin utama dalam pembangunan industri minyak dan gas di Sabah melalui SOGIP.
Ia merupakan loji baja pertama yang dibina di Sabah. Urea digunakan secara langsung sebagai baja atau bahan mentah untuk penghasilan resin dalam papan lapis dan pelekat, serta bahan kimia lain.
Ammonia digunakan terutamanya sebagai bahan mentah untuk urea, atau kegunaan industri seperti pembersih alkali dan gas penyejuk. – UTUSAN










