Rumah mampu milik: PR1MA, SCIB jalin kerjasama

Rumah mampu milik: PR1MA, SCIB jalin kerjasama

ANWAR Ibrahim menyaksikan majlis pertukarn kerjasama antara syarikat China dan Malaysia, termasuk PR1MA di Beijing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan SANY Construction Industry Development (M) Sdn. Bhd. (SCID) bagi menjalin kerjasama dalam membina kediaman mampu milik menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

SCID adalah sebuah anak syarikat SANY Group yang berpangkalan di China.

Menteri Pembangunan Ke­rajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerjasama itu merupakan langkah penting ke arah mencapai aspirasi kerajaan dalam meningkatkan pemilikan kediaman mampu milik yang berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Selain itu, pelaburan SANY Group ke Malaysia yang menyumbang kepada pelaburan langsung asing dan pemindahan teknologi sangat dialu-alukan.

“Ini juga membuktikan ba­hawa Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menarik pelaburan asing berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh PR1MA.

Majlis pertukaran MoU ter­sebut turut dihadiri Pengerusi PR1MA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd. Nazri Md. Shariff dan Presiden SANY Group Co Ltd, Tang Xiuguo.

Majlis tersebut diadakan di China World Hotel, Beijing, China disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan.

PR1MA berkata, MoU itu merupakan lanjutan kepada MoU yang pernah ditandatangani kedua-dua syarikat pada Mac 2022, bertujuan untuk membina kilang-kilang IBS di lokasi strategik dengan potensi pelaburan di Malaysia bernilai sehingga RM75 juta.

Katanya, teknologi IBS mampu mengurangkan kos pembinaan, di samping meningkatkan kelajuan dan mutu bangunan yang dibina.

“Kerjasama yang kukuh antara PR1MA dan SCID ini bertujuan mempercepatkan penyediaan 12,000 buah rumah mampu milik menerusi teras strategik Bandar Mini PR1MA.

“PR1MA telah menentukan empat lokasi untuk projek Bandar Mini PR1MA iaitu di Teluk Intan, Perak; Simpang Pulai, Perak; Teluk Kumbar, Pulau Pinang dan Ayer Panas, Melaka,” ujarnya.

Menerusi kerjasama itu, SCID akan membina sebuah kilang pengajar IBS untuk mengeluarkan komponen bangunan pra­tuang untuk digunakan dalam projek-projek PR1MA.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×