PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton, menyahut inisiatif kerajaan untuk membantu mengurangkan kos sara hidup golongan berpendapatan rendah dengan pelancaran Proton Rahmah 2023.
Kempen itu menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150.
Kempen Proton Rahmah 2023 bermula berlangsung sehingga 31 Mei 2023. Ia disasarkan kepada pemilik Proton Persona, Iriz, Exora, Saga, serta model terdahulu termasuk Inspira, Waja dan Wira.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan perasmian kempen itu berkata, pemilikan kenderaan adalah penting untuk kehidupan seharian ramai rakyat Malaysia dan perbelanjaan yang berkaitan dengan seperti pembayaran balik pinjaman bank, minyak, tol dan penyelenggaraan adalah komponen utama perbelanjaan isi rumah.
Katanya, dengan pelancaran Kempen Rahmah, pemilik Proton akan dapat memeriksa kereta mereka secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik yang akan meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya bakal datang.
“Saya berbesar hati kerana Proton merupakan syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan saya berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, pelancaran Kempen Rahmah Proton selaras dengan usaha syarikat untuk menawarkan nilai tambahanan kepada pelanggan dan menyediakan produk serta perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai.
Kata beliau, sehingga 31 Mei ini, pelanggan Proton boleh menikmati pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan menikmati pakej perkhidmatan berharga hanya RM150.
“Kempen inklusif ini memastikan kos dikongsi secara sama rata antara Proton Edar dan pengedar kami sebagai sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kami dan kami berharap dengan kempen ini, pemilik digalakkan servis kereta mereka di pusat servis yang bertauliah sebelum memulakan perjalanan balik kampung semasa tempoh perayaan,” katanya. – UTUSAN










