BENTONG: Pembinaan Terowong Genting terpanjang di Asia Tenggara bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 16.39 kilometer berjalan lancar dengan penembusan terowong dijangka dapat dicapai pada suku kedua 2025.
Pembinaan terowong berkembar menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) itu sudah berjaya mencapai penembusan 2,602 meter bagi terowong pertama dan 2,497 meter bagi terowong kedua.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foke berkata, beliau yakin kerja-kerja pengorekan dapat dilakukan dengan lancar menggunakan dua mesin TBM buatan China.
“Kedua-dua mesin TBM yang berteknologi tinggi ini akan dapat menangani cabaran daripada segi kejuruteraan dan keadaan geologi semasa kerja-kerja pengorekan melintasi Banjaran Titiwangsa,” katanya selepas melakukan tinjauan di Terowong Genting di sini.
Loke Siew Foke berkata, pengorekan terowong menggunakan TBM dimulakan pada Jun 2022 bagi terowong pertama manakala terowong kedua, November 2022.
Beliau berkata, Terowong Genting merupakan terowong pertama dikorek menggunakan kaedah mesin TBM yang canggih berbanding kaedah gerudi dan letup yang telah digunakan untuk terowong-terowong sedia ada projek ECRL.
“Pembinaan Terowong Genting merupakan komponen utama bagi projek ECRL kerana ia melengkapkan jambatan darat atau ‘landbridge’ bagi pengangkutan kargo dari Pelabuhan Kuantan ke Pelabuhan Klang serta dapat terus menghubungkan para penumpang dari negeri-negeri Pantai Timur ke Gombak,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerja-kerja pembinaan projek ECRL sepanjang 665 kilometer merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor telah mencapai kemajuan sebanyak 42.06 peratus setakat Mac lalu.
Beliau memberitahu, tahap kemajuan yang dicatat adalah selari dengan jadual penyiapan jajaran projek ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026.
Sementara itu, beliau berkata, aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan projek yang mana pematuhan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah mutlak dan tidak boleh diabaikan.
Katanya, berdasarkan penilaian dalam aspek keselamatan setakat ini projek ECRL telah mencapai 10 juta jam bekerja tanpa kemalangan.
“Pihak Malaysia Rail Link Sdn. Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) ECRL sudah melancarkan kempen keselamatan dan kesihatan ECRL 2023 bagi memupuk kesedaran keselamatan memandangkan projek mega ini mempunyai lebih 17,000 tenaga kerja dan 350 tapak kerja utama setakat ini,” ujarnya. – UTUSAN










