PETALING JAYA: MIDF Research optimistik pembelian tanah seluas 8.691 hektar berharga RM165 juta di Kota Bharu oleh AEON Co. (M) Berhad, akan memberikan kestabilan yang lebih tinggi kepada operasi pasar raya syarikat itu, AEON Mall Kota Bharu.
AEON membeli tanah tersebut daripada Liziz Standaco Sdn. Bhd. dengan jual beli dijangka selesai pada suku ketiga tahun tahun ini.
Menurut firma penyelidikan itu, ia mengambil kira syarikat kini memajak tapak berkenaan untuk mengendalikan AEON Mall Kota Bharu.
“Dengan pengambilan tanah, AEON akan mempunyai kawalan ke atas hartanah tanpa bimbang tentang tamat tempoh pajakan atau kenaikan sewa yang akan menjejaskan operasi AEON Mall Kota Bharu.
“Selain itu, pengambilan tanah berpotensi memberikan penjimatan kos jangka panjang memandangkan Kumpulan tidak perlu lagi membayar sewa kepada pihak ketiga.
“Pemerolehan juga adalah sebahagian daripada strategi korporat syarikat untuk menumpukan perhatian dan mengembangkan operasi runcitnya pada masa hadapan,” katanya dalam nota kajian.
MIDF Research berkata, AEON berhasrat menggunakan sumber kewangan dalaman untuk pembelian tersebut.
Firma penyelidikan itu justeru percaya sumber kewangan tidak menjadi masalah kepada AEON, mengambil kira kedudukan tunainya yang kukuh berjumlah RM237.5 juta setakat tahun kewangan 2022, ditambah dengan nisbah geran yang rendah.
“Selepas penyiapan pengambilalihan, kami menjangkakan nisbah penggearan bersih kekal sihat,” katanya.
Sehubungan itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan Kumpulan dengan saranan `Beli’ pada harga sasaran RM1.90, sementara menunggu pengambilan tanah selesai. – UTUSAN









