PCG catat prestasi kukuh, beri tumpuan portfolio bahan kimia khusus - Utusan Malaysia

PCG catat prestasi kukuh, beri tumpuan portfolio bahan kimia khusus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengakhiri 2022 dengan rekod hasil bernilai RM29 bilion dan keuntungan selepas cukai berjumlah RM6.3 bilion.

Prestasi yang memberangsangkan pada tahun lalu berjaya dicapai walaupun menghadapi isu geopolitik, ketidaktentuan pasaran, dan cabaran umum dalam industri.

Syarikat tetap meneruskan kecemerlangan operasi dan komersial walaupun mengalami ketidaktentuan dalam tenaga dan pasaran komoditi yang menyebabkan harga minyak mentah dan petrokimia meningkat, selaras dengan dasar sifar-Covid yang berterusan di China serta peningkatan kos operasi yang disebabkan oleh kenaikan kos tenaga dan logistik.

PCG mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan setahun (tpa) dan jumlah jualan 8.3 juta tpa, di samping mengekalkan rekod prestasi cemerlangnya dalam aspek keselamatan.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, pihaknya berbangga dapat memberikan prestasi yang kukuh walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Berpandukan strategi dua serampang PCG untuk mengekalkan kekuatan kami dalam petrokimia asas di samping mendalami bahan kimia khusus, kami berharap dapat menerokai sumber pendapatan baru dan mengukuhkan kedudukan kami di rantau ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-25 PCG hari ini.

2022 merupakan tahun yang penting dari segi pertumbuhan. Pengambilalihan Perstorp Group yang berpangkalan di Sweden oleh PCG, menghasilkan kepelbagaian dalam penawaran produk Syarikat, khasnya untuk portfolio bahan kimia khusus.

Syarikat juga melancarkan fasiliti pembuatan bahan tambahan minyak pelincir baru di bawah BRB Group di Belanda yang berfungsi sebagai hab utama bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia secara global untuk PCG.

Selain itu, dua projek mencapai status Keputusan Pelaburan Akhir (FID) iaitu pembangunan loji melamin di Gurun, Kedah dan pengembangan kilang Asid 2-Ethylhexanoic (2-EHA) di Gebeng, Pahang.

Mohd. Yusri menjelaskan, kemasukan Kumpulan Perstorp menandakan satu kejayaan besar yang akan menawarkan lebih 130 produk baharu, tujuh tapak pembuatan di seluruh dunia dan lebih 1,500 ahli baharu yang menyertai keluarga PCG.

“PCG juga telah menubuhkan Bahagian Kimia Khusus baharu untuk mengurus dan mengemudi perancangan strategik penting selaras dengan aspirasi jangka panjang PCG dalam jurusan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, PCG menantikan satu lagi tahun yang menarik, di samping kekal berhati-hati dengan potensi kesan inflasi tinggi dan faktor lain yang tidak menentu.

“Pada 2023, kami masih akan terus memastikan kecemerlangan operasi dan komersial, di samping meningkatkan usaha kelestarian kami sambil menerokai peluang pertumbuhan yang baharu.

“Kami yakin visi, strategi dan bakat kami akan membolehkan kami untuk mengharungi ketidaktentuan serta terus mencipta nilai kelestarian untuk semua pihak berkepentingan kami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN