PETALING JAYA: Menyedari pentingnya peranan usahawan dalam memastikan industri perusahaan makanan sentiasa mampan, MYNIC Berhad telah bekerjasama dengan pelbagai agensi seperti TEKUN, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pahang Go dan Pahang Corporate Management Service.
Hasil kolaborasi dan inisiatif itu, MYNIC telah melatih ramai perniagaan dalam bidang perusahaan makanan dan telah menjalankan program Webinar Kesedaran Transformasi Digital melibatkan 1,000 usahawan dalam sektor berkenaan.
Ketua Pengawai Eksekutif MYNIC, Datuk Ts. Hasnul Fadhly Hasan berkata, inisiatif itu adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan usahawan tentang pentingnya penjenamaan digital dan bagaimana nama domain boleh menjadi aset digital yang berharga.
Kata beliau, hasil pemerhatian dan pemantauan MYNIC di bawah program Komuniti .MY, kami dapati latihan pendigitalan ini berjaya memberi impak yang ketara dan pencapaian yang memberangsangkan.
“Ia bukan sahaja membantu peningkatan pendapatan perniagaan yang ketara tetapi juga berjaya membawa perniagaan mereka ke satu peringkat yang lebih baik dan sekaligus mampu bersaing dalam pasaran ekonomi digital yang lebih kompetitif,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Komuniti .MY diilhamkan agar usahawan dapat berkumpul di bawah satu payung dan berkongsi pengalaman, pandangan serta menimba ilmu baharu melalui seliaan jurulatih bertauliah daripada MYNIC.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital sebagai pembangun serta pengurus nama domain .MY.
MYNIC juga akan berusaha untuk memboleh dan memperkasakan PMKS mendalami ekosistem e-dagang supaya dapat menjadi sebahagian daripada penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – UTUSAN










