Keenakan biskut semasa belajar inspirasi perniagaan Ultimate Bakes - Utusan Malaysia

Keenakan biskut semasa belajar inspirasi perniagaan Ultimate Bakes

Nur Iylia Shahriman nekad membuka bakeri empat tahun lalu walaupun tanpa modal yang mencukupi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT dan rindu terhadap keenakan rasa biskut yang sering dimakan semasa belajar di sebuah universiti di Auckland, New Zealand mendorong Nur Iylia Shahriman, 32, membuka sebuah kedai bakeri di Ipoh, Perak.

Perniagaan yang dibinanya itu tanpa sebarang pengalaman dalam bidang bakeri atau modal yang mencukupi namun itu tidak mematahkan semangatnya yang memulakan perniagaannya secara kecil-kecilan di rumah empat tahun lalu.

Pemilik The Ultimate Bakes yang terletak di Jalan Pasir Puteh di Ipoh berkata, dia mula mempelajari cara-cara membuat biskut atau cookie yang rasanya seakan-akan sama seperti semasa beliau menuntut di Auckland menerusi media sosial.

Katanya, dia banyak mencuba dan mengolah sendiri resepi biskut semata-mata untuk mendapatkan rasa yang sama seperti yang dia beli semasa belajar di Auckland.

“Apabila menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak pada 2016, saya mula menjual cookies kepada pelajar dan dari situlah perniagaan ini bermula,” katanya.

Menurutnya, ketika dia menuntut di UTP, tiada lagi kafe di universiti tersebut dan ini membuatkan hasil jualannya sentiasa habis.

“Hasil jualan cookies, saya guna beli oven terpakai dengan membuat kek dan brownies.

“Ketika itu, pelanggan saya masih pelajar UTP selain sudah mula menerima tempahan luar,” katanya.

Katanya, berikutan tempahan yang semakin banyak, setelah tamat belajar pada 2019, dia membuka sebuah kedai kecil berdekatan rumahnya di Batu Gajah disebabkan tempahan yang semakin banyak.

“Setelah tamat belajar pada tahun 2019, saya mula buka sebuah kedai kecil yang dekat dengan rumah di Batu Gajah. Ketika itu, tempahan juga sudah semakin banyak dan tidak sesuai lagi untuk beroperasi di rumah.

“Sewaktu itu saya mula menjual kopi pelbagai rasa dengan menggunakan sebuah mesin kopi yang sesuai digunakan di rumah sahaja dan ia juga mendapat sambutan,” katanya.

Dengan menggunakan platform media sosial sebagai tempat untuk memasarkan produk jualannya, Nur Iylia mengakui tidak menang tangan apabila perniagaannya di Batu Gajah tular dalam media sosial.

“Viral ini sejak di Batu Gajah lagi dan memang tidak menang tangan memandangkan pekerja pada waktu itu tidak seramai sekarang,” katanya.

Katanya, lokasi perniagaan yang strategik itu penting tetapi strategi pemasaran yang baik sangat berguna terutamanya dalam era digitalisasi ini.

“Bagi saya, kini, teknik pemasaran melalui media sosial sangat penting kerana tidak kira di mana lokasi perniagaan, jika tular pasti orang akan mengenali produk kita.

“Ini kerana kedai di Batu Gajah bukanlah terletak di tengah pekan malahan di kawasan kampung tetapi masih mendapat sambutan,” katanya.

Anak ketiga dari empat beradik ini berkata, tanpa bimbingan dan tidak pernah menyertai mana-mana bengkel keusahawanan, beliau hanya bergantung sepenuhnya daripada wang simpanan hasil jualan untuk membesarkan perniagaan.

“Salah satu faktor saya tidak masuk kelas bimbingan dalam bidang bakeri adalah ketika itu, saya tidak mempunyai modal yang mencukupi.

“Jadi, selain membaca buku, saya belajar dari You Tube,” katanya.

Setahun kemudian, Nur Iylia berpindah menyewa di lokasi sekarang dengan modal RM100,000 untuk kos ubah suai premis dan kelengkapan perniagaan.

“Kedai mula dibuka pada pukul 11 pagi hingga 6 petang sahaja. Walaupun ada pelanggan yang meminta supaya melanjutkan masa beroperasi tetapi kami kekalkan sahaja waktu sedia ada agar petugas mempunyai rehat yang cukup.

“Ketika ini, saya mempunyai lapan orang pekerja yang kesemuanya tidak mempunyai asas membuat kek dan cookies tetapi belajar sebaik sahaja diambil bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya