Jualan Proton meningkat 50.9 peratus suku pertama 2023

Jualan Proton meningkat 50.9 peratus suku pertama 2023

Persona adalah model sedan segmen B terlaris Proton.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 3.8 peratus kepada 14,573 unit untuk domestik dan eksport pada Mac lalu.

Jualan itu juga adalah peningkatan sebanyak  11.9 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.

Pembuat kereta nasional itu dalam kenyataannya berkata, pencapaian itu menjadikan jualan pada suku pertama sebanyak 40,287 unit, peningkatan 50.9 peratus daripada tahun lepas.

Katanya, penguasaan pasaran bagi bulan tersebut sebanyak 18.7 peratus, membolehkan Proton mengekalkan kedudukan kedua pada jadual jualan, dengan penguasaan pasaran kira-kira 21.2 peratus.

“Pencapaian itu, menjadikan Proton jenama dengan peningkatan angka penguasaan pasaran suku pertama paling tinggi, penambahan 4.5 peratus berbanding tahun lepas.

“Jualan kenderaan pada Mac mencapai rekod baharu dengan jumlah volum industri (TIV) dianggarkan sebanyak 78,000 unit, memecahkan rekod lama sebanyak 76,657 unit yang dicatatkan pada Disember 2022,” katanya dalam kenyataan.

Proton berkata, Persona adalah model sedan segmen B terlaris untuk tiga bulan berturut-turut dengan  2,421 unit dijual pada Mac dan 6,773 unit bagi keseluruhan suku pertama, penambahan sebanyak 79.2 peratus.

Sementara itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, X50 tetap mendahului segmennya dan kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia dengan 3,414 unit dijual pada Mac dan jualan suku pertama pula adalah 9,668 unit, naik 34.4 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Pendahulu jualan segmen ketiga syarikat adalah Exora, yang kekal sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen C terlaris dengan 426 unit dijual.

“Model Proton paling popular adalah Saga yang mencapai jualan melebihi 6,000 unit untuk bulan kedua berturut-turut dengan 6,313 unit dijual. Bagi suku pertama, syarikat berjaya menjual 17,446 unit Saga, peningkatan 84.6 peratus,” ujarnya.

Dalam pada itu, Iriz dan  X70 pula merekodkan jualan sebanyak 712 dan 1,272 unit pada bulan dilaporkan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, syarikat menunjukkan prestasi yang sangat baik pada suku pertama 2023 dan pihaknya bangga dengan pencapaian jualan melebihi 40,000 unit.

“Walau bagaimanapun, kami sedar kadar jualan pada tiga bulan pertama meningkat kerana semua jenama tergesa-gesa untuk menghantar kereta yang ditempah semasa insentif PENJANA.

“Gambaran sentimen pasaran yang lebih tepat mungkin akan muncul pada akhir suku kedua, tetapi kami yakin mampu mengekalkan momentum jualan.

“Proton X90 akan dilancarkan tidak lama lagi dan kami juga akan ada penambahan barisan model lewat tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN