KUALA LUMPUR: Program Semarak Ramadan yang menjadi aktiviti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Bank Rakyat sejak 2017 akan menjelajah ke 29 lokasi seluruh negara tahun ini.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, dengan sasaran lokaliti luar bandar, FAMA berharap dapat mendekatkan agensi itu bersama golongan sasar disamping dapat mengimarahkan Ramadan dengan pelbagai aktiviti kebajikan bersama komuniti setempat.
Menurut Abdul Rashid, Bank Rakyat bersama lagi bagi tahun kedua untuk menjayakan jelajah Program Semarak Ramadan FAMA dan menyalurkan sumbangan berjumlah RM600,000.
Katanya, sumbangan Bank Rakyat kepada kepada pihak FAMA itu dalam bentuk kit kebajikan makanan untuk disumbangkan kepada hampir 4,000 orang terdiri daripada golongan asnaf di seluruh negara.
“Setiap lokasi jelajah Program Semarak Ramadan turut akan diadakan aktiviti penyampaian perkhidmatan FAMA dan Bank Rakyat bagi memudahkan komuniti setempat memahami peranan dan tugas yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik FAMA dan Bank Rakyat di Ibu Pejabat FAMA yang turut dihadiri Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, penganjuran program seperti itu merupakan inisiatif serampang dua mata di mana bukan sahaja dapat mendekatkan peranan agensi ke lokasi program, malah dapat membawa bersama kerjasama pihak yang turut sama ingin menyumbang.
“Jelajah Ramadan ini merupakan satu konsep yang kita perkenalkan untuk kita bergerak ke lapangan bagi menyantuni golongan yang memerlukan dan masyarakat semasa bulan Ramadan.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih atas nilai sumbangan yang diberikan oleh Bank Rakyat bagi menyantuni golongan yang memerlukan semasa bulan Ramadan ini.
“Dan pada tahun ini kita amat berbesar hati dengan rangka kerjasama kita bersama pihak Bank Rakyat, kita akan mengembangkan lagi jalinan kerjasama ini melalui beberapa lagi program yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat” katanya. – UTUSAN










