PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) bersedia memudahkan pemindahan perkhidmatan Intra-Borneo daripada Malaysia Airlines kepada Firefly berkuat kuasa 16 Mei 2023 hasil daripada pemulihan permintaan yang berterusan di semua pasaran.
MAG dalam kenyataan berkata, Firefly akan menyediakan penerbangan pergi balik sehari sekali menggunakan Boeing 737-800 antara Kota Kinabalu (BKI) ke Sandakan (SDK), Tawau (TWU), dan Kuching (KCH), serta penerbangan harian pergi balik antara Kuching (KCH) ke Miri (MYY).
Katanya, langkah itu untuk menawarkan penumpang pengalaman perjalanan yang tiada tandingan dengan keselesaan, kemudahan dan kecekapan.
“Inisiatif ini mewakili peristiwa penting dalam pelan rasionalisasi laluan strategik MAG dan penilaian berterusan terhadap operasi perniagaannya.
“Selain itu, pelanggan boleh menikmati pengalaman perjalanan hospitaliti Malaysia yang luar biasa, nilai unggul, fleksibiliti yang dipertingkatkan dan kemudahan perkhidmatan yang tiada tandingan oleh Firefly,” katanya.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada usaha ini, Firefly juga menawarkan diskaun sehingga 20 peratus untuk tambang asas dan elaun bagasi yang ditempah awal daripada RM30, tersedia untuk tempahan mulai hari ini hingga 12 April 2023.
Promosi ini sah untuk perjalanan dari 16 Mei 2023 hingga 31 Julai 2023 merentas semua destinasi di atas.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAG, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, pelaksanaan inisiatif terbaharu ini adalah bukti usaha berterusan MAG untuk memperhalusi dan menambah baik rangkaian dan penawaran produknya.
Jelasnya, pelancaran operasi jet Firefly pada 2022 telah mendapat sambutan yang besar, terutamanya dalam sektor pelancongan masa lapang.
“Pencapaian yang berterusan ini mengulangi komitmen yang tidak berbelah bahagi MAG untuk kekal responsif terhadap perubahan permintaan pelanggannya dan memanfaatkan keadaan pasaran semasa.
“Dengan mengutamakan keperluan permintaan pasaran, MAG menyasarkan untuk membuka peluang yang lebih besar untuk pertumbuhan dan kemajuan sambil kekal dengan objektif menyeluruh syarikat,” ujarnya.
Menurutnya, penerbangan itu akan dikendalikan menggunakan pesawat Firefly yang baharu dipasang semula dengan 189 tempat duduk dalam kelas ekonomi. – UTUSAN










