PETALING JAYA: Bernas Logistics Sdn. Bhd. (Bernas Logistics) merancang membeli 30 lagi lori pelbagai muatan untuk mengembangkan operasi logistiknya, sekali gus menjadi antara pemain dalam industri logistik berkaitan makanan di negara ini.
Anak syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) itu yang ditubuhkan pada pertengahan 2022, turut dijangka mengambil alih operasi pelanggan utama yang telah dikenal pasti, meningkatkan aktiviti pergudangan, pengedaran serta penghantaran akhir (last mile delivery) di seluruh negara menerusi pelan dua tahun yang telah dirangka.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernas Logistics, Kuganesh a/l Chidambareswaran berkata, syarikat akan melabur di dalam aset, sistem dan kepakaran sumber manusia agar perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan adalah selari dengan matlamat mereka.
“Dalam masa yang sama, Bernas Logistics turut membangunkan skala keupayaan dan kapasiti dalam menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada para pelanggan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan 9 Lori Isuzu Pelbagai Muatan oleh Automotive Corporation Malaysia Sdn. Bhd. (ACM) kepada Bernas Logistics, baru-baru ini.
Bernas Logistics memberitahu, pemilihan ACM adalah satu langkah strategik berasaskan potensi hubungan kerjasama jangkamasa panjang dan ACM merupakan nama yang kukuh dalam industri kenderaan komersial. – UTUSAN










