Aneka Jaringan dianugerah projek RM30.28 juta di Melaka

Aneka Jaringan dianugerah projek RM30.28 juta di Melaka

PANG TSE FUI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aneka Jaringan Holdings Berhad (Aneka Jaringan) dianugerahkan projek bernilai RM30.28 juta di Melaka oleh Reliacon Sdn. Bhd. (Reliacon).

Projek terbabit untuk kerja-kerja cerucuk `bored’ yang berkaitan dengan projek pangsapuri dan perkhidmatan terletak di Bandar Melaka.

Projek melibatkan kerja-kerja cerucuk `bored’ untuk satu blok 41 tingkat pangsapuri servis, satu blok 40 tingkat pangsapuri servis, satu blok pejabat 15 tingkat, tempat letak kereta tujuh tingkat dan satu tingkat ruang komersial.

Projek bermula pada Mei dan dijangka mengambil masa lapan bulan untuk disiapkan.

Kerja-kerja cerucuk `bored’ melibatkan kerja-kerja penggerudian bagi membentuk lubang untuk membolehkan cerucuk konkrit bertetulang dituangkan di situ.

Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata, Kumpulan semakin mendapat pekerjaan kerana memberi tumpuan kepada pasaran di Malaysia dan Indonesia.

“Ini akan mengisi semula buku pesanan kami dan membantu Kumpulan dalam meningkatkan prestasi garis atas dan bawah sambil menyumbang secara positif kepada tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (TK2023) dan 31 Ogos 2024 (TK2024).

“Kami akan terus mencari projek daripada sektor kerajaan dan swasta Malaysia dan Indonesia serta menjangkakan rangkaian projek yang kukuh,” katanya dalam kenyataan.

Aneka Jaringan mempunyai buku pesanan sebanyak RM137 juta pada 30 November 2022, dengan operasi Malaysia menyumbang RM124 juta dan operasi Indonesia menyumbang RM13 juta.

“Sehingga 31 Mac 2023, buku tender Kumpulan berjumlah RM1.19 bilion, dengan tender di Malaysia bernilai RM1.12 bilion dan tender di Indonesia bernilai RM68 juta,” jelasnya.

Aneka Jaringan ialah pakar terkemuka dalam pembinaan bawah tanah dan asas yang diasaskan pada 2001.

Kumpulan adalah kontraktor Gred G7 bertauliah untuk kerja-kerja pembinaan cerucuk dan am dengan projek-projek terkenal seperti MRT2, Merdeka 118, Pusat Bandar Bukit Bintang, Lebuhraya Pantai Barat dan LRT3.

Melalui anak syarikat, PT Aneka Jaringan Indonesia, Kumpulan terlibat dalam projek sektor awam dan swasta, terutamanya projek diterajui sektor swasta Sky House Alam Sutera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×