AmBank jangka inflasi lebih tinggi

AmBank jangka inflasi lebih tinggi, OPR naik 25 mata asas tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AmBank Group Economic Research (AmBank) menyemak semula unjuran inflasi pada julat antara 3.0 hingga 3.50 peratus tahun ini, berbanding anggaran sebelumnya sekitar 3.0 peratus.

Menurut bank penyelidikan itu, kadar tersebut bagaimanapun masih dalam lingkungan unjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) antara 2.8 hingga 3.8 peratus.

Jelasnya, semakan semula unjuran inflasi itu dibuat mengambilkira andaian bahawa tarif elektrik, harga diesel dan harga siling ayam dan telur akan ditamatkan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini.

Susulan itu juga, AmBank menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas akan berlaku pada tahun ini.

“Kebarangkalian untuk kenaikan kadar OPR 25 mata asas lagi tahun ini masih dalam jangkaan, tetapi ia masih menjadi persoalan sama ada akan ada pindaan (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Mei 2023,” katanya dalam nota kajian.

Menurut AmBank, keadaan ekonomi global selepas kegawatan perbankan di Amerika Syarikat (AS) pasti berubah dengan risiko kelemahan berada di peringkat tengah, dengan kemungkinan kenaikan kadar faedah di AS semakin mereda.

Jelasnya, keadaan itu juga menyaksikan mata wang pasaran negara sedang membangun telah mendapat keuntungan sejak akhir-akhir ini, termasuk ringgit yang pada satu ketika didagangkan pada kadar RM4.40 berbanding dolar AS.

“Perkara yang perlu diberi perhatian di sini ialah tekanan terhadap pelebaran selanjutnya dalam kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) agak berkurangan daripada perspektif pasaran kewangan.

“Dari sudut pandangan domestik pula, inflasi dan inflasi teras telah berada dalam aliran menurun sejak September 2022.

“Trend yang sama dilihat dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) (pada pelasaran suku-ke-suku). Oleh itu, kami melihat terdapat keperluan untuk mencapai keseimbangan dari segi  dasar monetari tanpa melemahkan momentum pertumbuhan,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research pula mengekalkan jangkaan inflasi tahun ini pada 2.5 peratus.

Jelasnya, inflasi utama telah menyederhana kepada paras terendah sembilan bulan, jatuh kepada 3.4 peratus tahun ke tahun pada Mac, lebih rendah daripada anggaran pasaran sebanyak 3.6 peratus tahun ke tahun.

Melangkah lebih jauh ke 2023, firma penyelidikan itu berkata, faktor tolakan bekalan dijangka berkurangan, antara lain disebabkan oleh peningkatan ringgit, pembetulan sederhana dalam harga komoditi global dan aliran rantaian bekalan yang lebih baik.

“Berdasarkan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula, kami percaya kerajaan akan mengekalkan status quo subsidi bahan api terutamanya RON95 sehingga akhir tahun.

“Kami menjangkakan bahawa sebarang langkah subsidi bersasar untuk RON95 dan diesel akan dilaksanakan pada 2024,” katanya.

Menurut MIDF Research, risiko utama kepada inflasi ialah inflasi makanan tinggi yang berterusan, konflik geopolitik yang meningkat di Eropah, lonjakan harga komoditi, ringgit yang lemah dan impak bencana alam yang boleh memberi kesan negatif terhadap trajektori harga makanan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×