TNB, PDRM tingkat logistik, banteras kecurian arus elektrik

TNB, PDRM tingkat logistik, banteras kecurian arus elektrik

BAHARIN Din (kiri) menyerahkan replika kunci kenderaan kepada Acryl Sani Abdullah Sani disaksikan oleh Saifuddin Nasution di Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan lebih RM278 juta kerugian kecurian arus elektrik dalam tempoh dua tahun lalu melalui Op Letrik.

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, kejayaan itu hasil daripada lebih 1,600 serbuan yang dibuat di seluruh Semenanjung, bagi membendung kerugian besar kepada industri tenaga dan negara.

Kata beliau, kerjasama strategik TNB dan PDRM itu telah memberikan impak amat positif dalam usaha membanteras perbuatan khianat tersebut, khususnya melibatkan premis perlombongan mata wang kripto, bitcoin dan pengguna industri.

“Justeru, TNB meningkatkan lagi kemudahan logistik pasukan PDRM dalam Op Letrik itu dengan menyumbang enam kenderaan pacuan 4 roda (4×4) dan 25 buah kontena bagi keperluan penyimpanan perkakasan rampasan,” katanya dalam kenyataan.

Baharin menyerahkan kende­raan untuk kegunaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Majlis penyerahan itu disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Baharin berkata, sumbangan itu diharap dapat melancarkan operasi Op Letrik bagi menggempur kegiatan mengambil bekalan elektrik secara curang, sekali gus mengelak kerugian kepada pengguna termasuk risiko bekalan kerap terputus.

“Terima kasih kepada PDRM di atas sokongan dan kerjasama dalam membantu TNB menjejak jenayah curi arus elektrik ini di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Op Letrik ini turut memberi impak positif kepada operasi TNB dan sekali gus membantu kami memberi tumpuan kepada usaha memacu peralihan tenaga negara,” katanya.

Tambah beliau, pengusikan pepasangan meter atau penyambungan haram oleh para pengusaha bitcoin boleh mencetuskan pelbagai kejadian termasuk gangguan bekalan akibat beban lampau (overloading) dan litar pintas sehingga menyebabkan kebakaran.

“TNB akan terus komited dalam memberikan kerjasama dan komitmen yang berterusan kepada PDRM dalam membenteras jenayah curi arus elektrik dan berharap agar kerjasama berterusan dengan PDRM ini akan berkekalan demi kebaikan semua pihak terutamanya kepada rakyat dan negara,” katanya.

Bahrin memberitahu, selain PDRM, TNB juga mendapat kerjasama agensi-agensi berkaitan khususnya Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha berusaha membanteras kecurian arus elektrik itu yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×