TNB bangun sistem THySIS, lindung hutan simpan - Utusan Malaysia

TNB bangun sistem THySIS, lindung hutan simpan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang membangunkan sistem tersendiri bagi memastikan pembinaan menara penghantarannya tidak menjejaskan spesis terancam sejajar komitmennya terhadap pengukuhan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Menggunakan kepakaran dalaman Bahagian Gridnya, Tree Hyperspectral Identification System (THySIS) dibangunkan untuk menjadi sistem paling lengkap yang pertama seumpamanya di negara ini bagi mengesan spesis pokok terancam secara automatik menggunakan teknik penderiaan jauh (remote sensing).

Ketua Pegawai Grid TNB, Dev Anandan berkata, sistem THySIS ini akan membolehkan TNB  mengenal pasti flora dan fauna di kawasan terlibat sebelum mengemukakan cadangan laluan penghantaran, berbanding sebelum yang bergantung sepenuhnya kepada maklumat pihak berkuasa hutan.

“Justeru, sistem ini akan digunakan apabila Jabatan Perancangan Tanah di TNB mahu mengenal pasti laluan atau jajaran rentis TNB untuk kerja-kerja pembangunan menara talian penghantaran yang baharu. 

“Ia adalah satu daripada inisiatif Bahagian Grid TNB dalam mengukuhkan lagi komitmen syarikat utiliti elektrik nasional itu terhadap aspirasi ESG yang menjadi antara agenda penting dalam memperkasa dan mempergiat Peralihan Tenaga,” katanya dalam kenyataan. 

Jelasnya, projek itu mendukung Pembangunan Mampan (Agenda 2030) dalam Rancangan Malaysia ke-12 berlandaskan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mensasarkan manusia menikmati kemakmuran dengan menyeimbangkan ekonomi, sosial dan alam sekeliling.

“Projek ini dijangka mampu membantu TNB dan negara memulihara hutan simpan dan tumbuhan unik khususnya menyelamatkan spesis terancam daripada mengalami kepupusan,” katanya. 

Sistem THySIS beroperasi dengan menggunakan kaedah  pengesanan dan julat cahaya (LIDAR)  bersama kaedah hiperspektral yang dipasang pada drone (unmanned aerial vehicle). 

Kedua-dua sistem itu mengumpul data-data mengenai tumbuhan dan memetakannya dalam bank imej.

Penggunaan THySIS membolehkan TNB mengesan lebih awal jenis-jenis tumbuhan di kawasan cadangan sekali gus dapat membuat pemilihan laluan bagi pembinaan menara dan talian penghantaran agar mengelak kawasan spesis pokok terancam.

“Jabatan Perancangan Tanah TNB akan cuba sedaya upaya mengelak daripada melalui laluan atau jajaran yang mempunyai spesis-spesis terancam. 

“Jabatan Perhutanan dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah mengenalpasti 40 spesis pokok yang tidak boleh ditebang kerana mengalami kepupusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.