PETALING JAYA: Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatatkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Tanpa Kawalan (PATAMI) sebanyak 27.7 peratus kepada RM1.14 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2022 (TK2022) daripada RM0.9 bilion tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Imri Mokhtar berkata, ia berikutan keuntungan operasi lebih tinggi dan kos kewangan lebih rendah selain turut menggambarkan kemajuan TM dalam program transformasi tiga tahunnya (2021-2023).
“Kita juga berjaya mencapai pertumbuhan 5.1 peratus daripada tahun sebelumnya dengan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM12.2 bilion pada 2022 berbanding RM11.53 bilion pada 2021.
“Ia disokong oleh prestasi yang lebih baik dalam ke semua barisan produk TM merentasi semua segmen pelanggan TM One dan TM Global kami,” katanya pada sesi Taklimat Media Keputusan Penuh TM Tahun 2022 secara atas talian, hari ini.
Tambah beliau, pertumbuhan tersebut turut meningkatkan keuntungan perniagaan TM di mana Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) bertambah 14 peratus daripada RM4.3 bilion kepada RM4.9 bilion pada 2022.
“Perolehan Sebelum Faedah dan Cukai (EBIT) TM turut naik 22.2 peratus kepada RM2.09 bilion daripada RM1.71 bilion tahun sebelumnya.
“Perbelanjaan Modal (CAPEX) adalah 20 peratus daripada keseluruhan hasil, iaitu berjumlah RM2.43 bilion yang dilaburkan untuk membawa pertumbuhan dalam perkhidmatan fiber, serta pemodenan dan naik taraf rangkaian,” katanya.
Mengulas lanjut, Imri berkata, Unifi mengekalkan momentum jualannya dengan lebih agresif sepanjang 2022 melalui pelbagai promosi dan program mengekalkan pelanggan.
Ia dibuktikan dengan hasil Unifi meningkat 7.5 peratus kepada RM5.61 bilion berbanding RM5.22 bilion pada 2021 disumbangkan oleh pertumbuhan berterusan daripada pelanggan kediaman dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang lebih tinggi.
“Kami percaya pengalaman pelanggan segmen Unifi kami turut bertambah baik dan ia dibuktikan dengan skor bersih yang digunakan untuk menjejaki pengalaman pelanggannya di mana semua aktiviti pada 2022 merangsang pendapatan sebanyak 7.5 peratus bagi Unifi dan merekodkan RM5.6 bilion pendapatan bagi tahun berkenaan.
“Pelanggan jalur lebar tetap Unifi juga bertambah sebanyak 9.3 peratus dan melepasi angka tiga juta pada 2022,” katanya. – UTUSAN










