PETALING JAYA: Sime Darby Berhad, menerusi anak syarikat milik penuhnya Sime Darby Allied Operations Pty. Ltd., akan mengambil alih syarikat Australia, Onsite Rental Group Limited (Onsite) pada pertimbangan tunai A$635 juta (RM1.92 bilion).
Menurut syarikat itu, harga pertimbangan itu, yang mewakili nilai perusahaan dipersetujui, dicapai mengikut asas ‘kesanggupan pembeli, kesanggupan penjual’ dan dianggap sebagai munasabah.
Onsite adalah penyedia utama penyelesaian sewaan peralatan perniagaan ke perniagaan (B2B) untuk pelanggan besar merentasi pelbagai industri di pasaran Australia termasuk sumber, tenaga, perindustrian dan komersial.
Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, syarikat secara strategik menempatkan kedudukannya untuk meraih permintaan merentasi sektor sumber, infrastruktur dan tenaga.
“Pengambilalihan Onsite melengkapi portfolio sedia ada Sime Darby dan menyediakan pengembangan geografi bagi meletakkan unit perindustrian kami dalam bidang pertumbuhan tinggi di pasaran Australia,” katanya dalam satu kenyataan.
Onsite mempunyai kira-kira 500 kakitangan menerusi rangkaian 30 cawangan di seluruh Australia, dengan menyediakan penyelesaian sewaan peralatan dan penyelesaian penerajui industri ‘Digital Rental Management’.
Ia mempunyai sekumpulan 6,000 aset yang besar bagi menyediakan kepelbagaian kepada tawaran sewaan peralatan perindustrian Sime Darby merangkumi pelbagai industri di Australia.
“Kami sangat gembira dapat mengekalkan pasukan pengurusan Onsite yang mantap dan tidak sabar untuk bekerja dengan mereka bagi membina kepimpinannya dalam pasaran penyewaan peralatan pembinaan serta perlombongan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Onsite, Mike Foureur berkata, Sime Darby adalah padanan yang semulajadi kepada syarikat itu dan ia mereka amat teruja untuk bekerjasama membina kejayaan hebat di pasaran Australia.
“Dengan sokongan ini, Onsite boleh melabur, mencapai kecekapan rantaian bekalan, berkembang ke dalam pasaran baharu dan meningkatkan tawaran kami bagi mempercepatkan pertumbuhan serta memenangi kontrak,” katanya. – UTUSAN










