PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan penarafan “negatif” pada sektor sarung tangan dan melihat turun naik harga bahan mentah akan menjejaskan kos pengeluaran pembuat sarung tangan Malaysia.
Pembuat sarung tangan Malaysia termasuk Hartalega Holdings Berhad (neutral, harga sasaran [TP]: RM1.80), Kossan Rubber Industries Berhad (jual, TP: 95 sen), dan Top Glove Corp Berhad (jual, TP: 55 sen).
Firma penyelidikan itu berkata, harga bahan mentah bagi pengeluar sarung tangan masih tidak menentu dalam tempoh terdekat.
“Kami berpendapat bahawa pembeli tertentu mungkin terlibat dalam beberapa aktiviti stok semula dalam tempoh terdekat di tengah-tengah inventori lama yang dijangka akan habis menjelang akhir 2023.
“Bagaimanapun, kami menjangka aktiviti stok semula akan kekal hambar memandangkan kebanyakan negara telah beralih kepada fasa endemik selepas pembukaan semula sempadan.
“Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) kini menjangkakan permintaan sarung tangan global akan kembali normal kepada paras pra-pandemik pada 2023 (300 bilion sarung tangan) berbanding 280 bilion sarung tangan pada 2018 dan 340 bilion sarung tangan pada 2019 ,” katanya dalam nota kajian.
MIDF Research berkata, dengan pertumbuhan tahunan yang normal, ia menjangkakan permintaan untuk sarung tangan di seluruh dunia akan kembali normal ke tahap pra-pandemik.
Kata firma penyelidikan itu, kadar penggunaan industri jatuh daripada 35 peratus hingga 40 peratus pada suku keempat tahun kalendar 2022 kepada 32 peratus hingga 35 peratus pada suku pertama tahun kalender 2023.
Katanya, semua pembuat sarung tangan di bawah liputannya berdagang pada diskaun 33 peratus hingga 52 peratus kepada sejarah nilai purata harga untuk tempahan dua tahun mereka.
“Kami percaya bahawa itu adalah wajar, dengan mengambil kira risiko penurunan berterusan terhadap keuntungan syarikat mereka.
“Oleh itu, kami menangguhkan pelaburan dalam sarung tangan sehingga kami mempunyai lebih banyak maklumat mengenai reaksi pelanggan terhadap kenaikan harga jualan purata,” katanya.
Firma itu berkata, ia kekal berhati-hati mengenai prospek berikutan persaingan sengit berterusan yang digabungkan dengan permintaan sarung tangan yang normal, mengakibatkan lebihan bekalan sarung tangan.
“Oleh itu, kami mengekalkan pandangan kami bahawa dinamik permintaan-penawaran tidak mungkin kembali normal sekurang-kurangnya dalam satu tahun akan datang.
“Pilihan utama kami untuk sektor ini ialah Hartalega. Kami lebih suka Hartalega kerana kedudukan tunai bersihnya yang besar sebanyak RM1.9 bilion (bersamaan dengan 27 peratus daripada permodalan pasaran), yang mungkin berfungsi sebagai penampan terhadap sebarang potensi risiko penurunan.
“Kami juga lebih suka Hartalega kerana keupayaannya menjana aliran tunai operasi yang positif walaupun menghadapi pelbagai masalah,” katanya. – UTUSAN











