PETALING JAYA: Sapura Energy Bhd. mencatatkan kerugian bersih lebih rendah pada RM3.30 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2023, berbanding kerugian bersih yang tinggi sebanyak RM6.76 bilion bagi suku yang sama tahun sebelumnya.
Menurut pemfailannya di Bursa Malaysia, prestasi lebih baik itu disokong oleh hasil lebih tinggi dan peruntukan lebih rendah untuk kerugian yang boleh dijangka, walaupun kerugian pertukaran asing lebih tinggi disebabkan dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah berbanding ringgit.
Sapura Energy berkata, hasil pada suku tersebut meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.21 bilion daripada RM426.60 juta setahun lalu.
“Perkara tersebut didorong terutamanya oleh peratusan penyiapan projek yang lebih tinggi untuk segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C) dan hari penggunaan pelantar yang lebih tinggi untuk segmen penggerudian.
“Bagi suku sama, Kumpulan juga membuat peruntukan untuk rosot nilai muhibah pada penyatuan sebanyak RM1.46 bilion, dan peruntukan untuk rosot nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan sebanyak RM1.15 bilion,” katanya.
Sementara itu, bagi keseluruhan tahun kewangan 2023, Sapura Energy mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.20 bilion, lebih rendah berbanding RM9.05 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Katanya, hasil meningkat 10.9 peratus kepada RM4.55 bilion daripada RM4.10 bilion tahun sebelumnya, disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen penggerudian, disebabkan hari penggunaan pelantar yang lebih tinggi pada tahun terkini.
Jelasnya, turut menyumbang adalah segmen operasi dan penyelenggaraan, disebabkan oleh peningkatan tuntutan diluluskan lebih tinggi.
Dalam pemfailan berbeza, Kumpulan berkata, kemerosotan itu dikaitkan dengan kos purata wajaran modal lebih tinggi yang timbul terutamanya daripada kenaikan kadar faedah global.
Tambahnya, modal kerja yang terhad dan kemudahan jaminan bank serta unjuran kitaran penurunan pasaran dalam jangka sederhana hingga panjang turut mendorong kemerosotan tersebut.
Sapura Energy berkata, kumpulan akan terus melaksanakan pelan penetapan semula untuk menangani hutang tidak mampan dan menyelesaikan tuntutan tertunggak oleh pemiutang perdagangan bagi tahun kewangan 2024.
Kumpulan turut melantik MIDF Amanah Investment Bank sebagai penasihat utama untuk membantu merangka pelan penyusunan semulanya. – UTUSAN










