Saham Boustead melonjak 30 peratus

Saham Boustead melonjak 30 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Boustead Holdings Bhd. (BHB), melonjak 30 peratus kepada 85.5 sen pada sesi pagi semalam, menyamai harga tawaran mengambil alih syarikat berkenaan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Memetik laporan The Edge, kaunter itu menokok 20 sen atau 30.53 peratus kepada 85.5 sen pada pukul 10.28 pagi, menjadikannya antara kaunter untung utama Bursa Malaysia setakat semalam.

Ia juga antara saham paling aktif didagangkan dengan 126.09 juta saham bertukar tangan setakat pagi semalam.

Pada harga 85.5 sen, saham Kumpulan itu bernilai RM1.72 bilion dan dalam tempoh satu tahun, kaunter itu telah meningkat 32.39 peratus.

Unit farmaseutikal yang 52 peratus dimiliki BHB, Pharmaniaga Bhd. juga merupakan antara kaunter paling aktif dengan 15.57 juta saham didagangkan.

Harga saham pembuat ubat itu naik satu sen atau 4 peratus kepada 26 sen, bernilai pada RM327.68 juta.

Kenaikan saham BHB berlaku selepas LTAT membuat tawaran pengambilalihan sukarela untuk memperoleh baki 822.51 juta saham Boustead atau 40.58 peratus pegangan yang tidak dimilikinya pada 85.5 sen sesaham atau kumulatif RM703.25 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia kelmarin, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. yang bertindak mewakili LTAT berkata, tawaran itu mewakili premium 36.8 peratus atau 23 sen daripada transaksi terakhir harga saham BHB pada 1 Mac 2023 iaitu 62.5 sen.

Langkah itu susulan kerugian bersih suku tahunan yang besar sebanyak RM402 juta dicatat oleh konglomerat itu, paling terkesan akibat kemerosotan RM552 juta bagi vaksin Covid-19 yang tidak terjual di Pharmaniaga.

Kelmarin, media melaporkan BHB mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman sebagai Pengerusi baharu bukan Bebas bukan Eksekutif Kumpulan.

Nazim yang mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam pengurusan korporat, kewangan dan pelaburan, menyertai sebagai ahli Lembaga Pengarah Boustead pada 1 Julai 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif kewangan Kumpulan BHB, Izaddeen Daud berkata, pengalaman luas Ahmad Nazim dalam sektor korporat dan kewangan di pusat utama di peringkat antarabangsa melonjakkan Boustead ke tahap baharu.

Katanya, BHB berharap kepimpinan, bimbingan dan nasihat beliau dapat memenuhi matlamat strategik Kumpulan berkenaan sejajar dengan strategi Mencipta Semula Boustead dalam meningkat dan memaksimumkan nilai  saham di samping melindungi kepentingan pemegang saham, terutama pemegang saham majoritinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN