Royal Alloy – Nostalgia untuk dimiliki

Royal Alloy – Nostalgia untuk dimiliki

Klasik dan mengimbau kenangan. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TIDAK dinafikan, motosikal skuter sudah lama bertapak dalam negara kita. Hampir semua rakyat Malaysia mengenali skuter seperti Lambretta, Vespa dan seumpamanya. Filem-filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga seringkali diselitkan skuter-skuter ini. Saya sendiri, masih mempunyai memori yang kuat dengan motosikal Vespa 2 lejang ayah saya, dan sememangnya duduk (kadang-kadang berdiri) di hadapan walaupun ketika perjalanan jauh beratus-ratus kilometer dalam sehari.

Zaman dua lejang telah berakhir, namun begitu, masih terdapat usaha daripada penjual skuter dari Itali untuk memasarkan jenama mereka dengan enjin berteknologi masakini. Cuma, ramai yang mengatakan bahawa ia gagal membawa nostalgia lama tersebut akibat daripada bunyi enjinnya yang senyap dan tidak ‘berdenting-denting’ seperti jentera 2 lejang itu dahulu, dan saiznya agak kecil.

Kini muncul alternatif kepada jenama Itali tersebut iaitu Royal Alloy edaran Chear Motor Global. Skuter Royal Alloy Tigara Grande 250s atau TG250S secara terang-terangan mirip sebuah skuter Lambretta yang begitu ‘mengancam’ rupanya sekitar 60-an dahulu. Penggunaan besi dengan acuan aluminium yang digunakan untuk bahagian kepala atau handel ternyata tidak mengecewakan peminat-peminat skuter lama ini.

REKAAN FIZIKAL

Sebagai versi standard, pelana menampilkan kusyen yang rendah dan agak lembut. Namun, sekiranya anda seorang yang agak tinggi dan inginkan lebih keselesaan, opsyen pelana “King and Queen” boleh didapati di kedai ruang pamer Royal Alloy di Shah Alam.

Daripada depan sehinggalah ke bahagian ekornya, ternyata TG250S sangat menghargai rekaan lama skuter-skuter 60-70-an ini. Malah, rekaan fizikal/kosmetiknya lebih menyerupai skuter-skuter retro tersebut lebih daripada skuter-skuter keluaran terkini jenama asal itu sendiri. Ruang menyimpan barangan di bahagian hadapan ternyata seperti skuter klasik dahulu, walau agak sempit dan tirus, namun sangat dihargai akan keberadaannya. Setakat untuk mengisi dompet, telefon bimbit atau mungkin tas tangan bersaiz kecil, masih boleh disumbat dalam ruangan tersebut.

Jika dahulu, Vespa atau Lambretta mempunyai ruang meyimpan barangan di satu bahagian ‘punggung’nya yang montok itu, TG250S tidak pula mempunyai ruang simpanan ke dua ini. Suspensi hadapan TG250s juga direka seolah-olah seperti suspensi skuter-skuter retro tersebut dan peminat tegar skuter-skuter retro ini mengetahui suspensi hadapan skuter ini diambil daripada suspensi roda tunggal belakang kapal terbang-kapal terbang klasik dan kapal terbang perang dunia ke-2 (WW2) dahulu.

KUSYEN yang terlalu lembut bakal membuat punggung kebas selepas setengah jam penunggangan.

PRESTASI ENJIN

Enjin walau bagaimana pun, memberikan saya perasaan yang bercampur baur. Pertamanya, ia bukan lagi enjin dua lejang yang begitu sinonim dengan skuter-skuter retro ini, masa tiada lagi bunyi berdenting mengiringi setiap letupan yang keluar dari corong ekzos skuter-skuter retro itu dulu.

Enjin 4 lejang yang walaupun hampir serupa dengan enjin-enjin skuter dari Taiwan, Korea dan China, bunyinya agak kasar sedikit dan beberapa seketika, mengembalikan nostalgia bunyi enjin skuter 60-70-an ini. Tidak dapat tidak, selaku ‘bikers Malaysia’ informasi terhadap kelajuan maksimum tetap menjadi persoalan utama dalam kalangan bikers.

Mempunyai tujahan kuasa yang agak kuat, malah terasa lebih kuat daripada Xmax 250, tetapi skuter ini seolah-olah tidak lagi berkuasa untuk mencapai kelajuan tinggi. Ia disebabkan oleh kotak gear CVT yang hanya mampu ‘melayan’ kelajuan sehingga 130km/j, dan gagal meningkatkan prestasi lebih daripada itu. Secara jujurnya, ia agak lari ‘konsep’ sekiranya skuter ini mencapai kelajuan 140-150km/j kerana skuter selalunya digunakan untuk bersantai dan bukan untuk berlumba.

KLASIK hanya pada rupa tetapi meternya ada digital.

KESIMPULAN

Dikhabarkan, Royal Alloy ini adalah dari England, tetapi kini pemasangannya dibuat di Thailand untuk mengurangkan kos pembuatan. Walau bagaimana pun, harga jualan TG250S  tidak pula mencerminkan negara ia dipasang. Harga jualan untuk seunit TG250S kini mencapai RM20,000.

Antara sifat skuter TG250s ini, saya agak paling lemah terhadap pelananya yang terlalu lembut. Walaupun mengetahui sebab sebenarnya ia lembut (untuk membolehkan penunggang-penunggang  lebih rendah lebih mudah mencapai permukaan bumi), tetapi akibat daripada itu, punggung menjadi kebas hanya selepas 30 minit penunggangan. Ternyata ia melenyapkan faktor keseronokkan penunggangan skuter retro ini. Handle barnya yang menjadi tinggi akibat daripada pelana yang ‘merubah’ menjadi rendah,  sedikit sebanyak memberikan rasa tidak selesa pada penunggangan yang lama atau jarak jauh.

TG250s direka cipta untuk penunggangan santai, dan sebagai nostalgia pada skuter-skuter yang seumpamanya dari zaman `Pop Yeah Yeah’ dahulu. Walaupun tidak menampilkan sebagai keselesaan penunggangan sebagai faktor utama, Royal Alloy TG250s mampu memberikan pemiliknya pengalaman yang ‘cool’ dan mampu menarik perhatian ramai sekiranya ditunggang ke kawasan orang ramai berehat.

Penunggangan  lebih seronok sekiranya diambil jalan-jalan lama dan kerap berhenti di perantaraan untuk menikmati keindahan alam dan kehidupan seperti dahulu yang tidak terlalu berebut-rebut untuk ke “garisan penamat”. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN