Proton lancar rangkaian stamping bernilai RM140 juta

Proton lancar rangkaian stamping bernilai RM140 juta

SAARANI Mohamad (depan) melakukan gimik pelancaran rangkaian stamping Proton di Tanjung Malim, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Pengeluar ke­reta nasional, Proton mela­kukan penambahan terbaharu di kilangnya di sini dengan me­lancarkan rangkaian stamping atau penghentakan panel badan kereta dengan daya tekanan sehingga 2,500 tan bernilai RM140 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, kemudahan baharu itu dapat mengurangkan pengimportan komponen sebanyak 115,000 unit setahun berikutan kemampuannya menghasilkan 50 komponen unik.

Menurutnya, rangkaian stam­ping baharu itu akan meningkatkan lokalisasi dan mengurangkan pendedahan terhadap gangguan import.

“Kerja-kerja pembinaan rangkaian stamping baharu Proton ini bermula pada awal April 2021 dengan pemasangan jentera bermula pada Julai 2022, sete­rusnya siap sepenuhnya menje­lang Disember.

“Terdapat lima mesin stam­ping, dengan satu mesin yang mampu menggunakan daya tekanan 2,500 tan dan dua mesin setiap satu dengan daya tekanan masing-masing 1,200 dan 1,000 tan.

“Rangkaian stamping baharu ini menggunakan enam robot untuk memindahkan bahagian antara stesen kerja dan menggunakan teknologi IR 4.0 daya masa nyata dan proses pembe­lajaran mesin untuk mening­katkan kualiti bahagian yang d­ihasilkan,” katanya pada lawatan rasmi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di kilang Proton di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Roslan berkata, barisan stam­ping baharu itu boleh menghasilkan sehingga 50 komponen unik, meningkatkan kandungan tempatan untuk mode SUV Proton kerana barangan seperti panel badan kereta kini boleh dihasilkan di Tanjung Malim.

Menurutnya, ini membawa fa­edah tambahan untuk mengurangkan pergantungan syarikat kepada komponen yang diimport, melindunginya daripada se­barang kemungkinan gangguan kepada perdagangan glo­bal dan menambah baik bekalan alat ganti tempatan.

“Pelancaran rangkaian stam­ping baharu kami di Tanjung Malim adalah tambahan besar kepada keupayaan pengeluaran Proton. Sebagai jenama automotif nasional, peningkatan penggunaan alat ganti sumber tempatan dalam aktiviti pengeluaran kami adalah penting kepada ekosistem automotif negara dan membantu mengurangkan aliran keluar dana negara.

“Selain berpotensi menambah 115,000 unit kepada jumlah volum pengeluaran syarikat, rangkaian stamping baharu ini juga membolehkan lebih fleksibiliti untuk membuat keputusan terhadap jumlah pengeluaran kami setiap bulan dan meningkatkan kepantasan kami untuk menghasilkan model baharu secara tempatan,” katanya.

Sementara itu, sempena lawatan Menteri Besar, Proton menampilkan model pertama pada tahun 2023 yang dilakukan secara terbuka dalam upacara line-off.

Model baharu itu merupakan SUV ketiga dalam rangkaian Proton yang akan membantu mengukuhkan jenama itu sebagai jenama SUV paling popular di Malaysia.

Model baharu itu juga akan menjadi model pertama menawarkan teknologi hibrid, menandakan kemunculan Proton dalam ruang Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Ia adalah langkah yang diambil Proton dalam komitmennya untuk memperkenalkan model NEV kepada rangkaiannya sebagai permulaan terhadap Kenderaan Elektrik (EV).

Roslan berkata, upacara line-off semalam menandakan permulaan aktiviti yang membawa kepada pengenalan rasmi model baharu Proton.

“Model baharu ini menandakan produk NEV pertama kami. Ini merupakan langkah penting dalam perjalanann NEV kami yang akan secara beransur memberi penekanan pada teknologi hibrid sebelum kami melancarkan Proton EV yang pertama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN