Petronas catat pendapatan RM375.3 bilion, tertinggi dalam sejarah

Petronas catat pendapatan RM375.3 bilion, tertinggi dalam sejarah

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM375.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding RM248 bilion tempoh sama tahun sebelumnya.

Petronas turut mencatatkan keuntungan bersih (PAT) tertinggi dalam sejarah syarikat itu, sebanyak RM101.6 bilion tahun lalu.

Untung bersih (PAT) itu adalah peningkatan 100 peratus daripada RM50.9 bilion yang direkodkan pada 2021. Prestasi itu didorong oleh harga produk utama iaitu minyak dan gas yang lebih tinggi.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) Petronas juga meningkat 70 peratus kepada RM170.7 bilion bagi TK2022 daripada RM100.4 bilion pada 2021.

Aliran Tunai daripada Aktiviti Operasi (CFFO) turut meningkat kepada RM135.3 bilion selain jumlah aset keseluruhan terus mengukuh dengan peningkatan 12 peratus kepada RM710.6 bilion setakat 31 Disember 2022 daripada RM635 bilion pada 2021.

Selain itu, Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM401.6 bilion setakat 31 Disember 2022, disebabkan keuntungan lebih tinggi yang direkodkan pada tahun berkenaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, tahun 2022 membolehkan pihaknya memanfaatkan lonjakan minyak dan gas, meskipun ia turut memberikan isyarat ketidaktentuan terhadap permintaan-bekalan yang didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran serta peralihan tenaga yang dipercepatkan.

Katanya, meskipun Kumpulan itu maju dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadunya dengan memberi lebih tumpuan kepada kecemerlangan komersial dan operasi.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat pengumuman keputusan kewangan Petronas untuk tahun 2022 di sini, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya