PETALING JAYA: Penarafan ke atas bank-bank Malaysia tidak akan terkesan daripada kejatuhan Silikon Valley Bank (SVB) dan dua lagi bank kecil Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.
RAM Rating Services Bhd. (RAM Ratings) berkata, asas kredit bank kekal teguh dan berdaya tahan di negara ini, disokong oleh kawal selia yang kukuh untuk mengharungi ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran kewangan global.
Katanya, pihaknya melihat asas dalam profil perniagaan dan kunci kira-kira bank perdagangan di Malaysia berbeza berbanding dengan SVB.
“Bank perdagangan domestik biasanya terlibat dalam lebih banyak aktiviti pemberian pinjaman berbanding bergantung pada pelaburan bon yang terdedah kepada turun naik pasaran.
“Bahagian aset sistem perbankan domestik yang dilaburkan dalam sekuriti bon adalah kurang daripada 25 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Agensi penarafan itu berkata, SVB mempunyai lebih daripada 50 peratus asas asetnya dalam sekuriti bon yang membawa kepada kerugian besar yang tidak direalisasikan di tengah-tengah kenaikan kadar faedah yang mendadak dan tinggi di AS.
Selain itu, kurang daripada 40 peratus (secara purata) pegangan bon di lapan bank utama Malaysia diklasifikasikan sebagai dipegang hingga matang (HTM), manakala selebihnya ditandakan ke pasaran.
Jelasnya, ini menunjukkan kerugian nilai saksama pada sekuriti bon sudah banyak dicerminkan dalam kedudukan modal bank.
“Sebaliknya, SVB mengklasifikasikan hampir 80 peratus sekuriti bon sebagai HTM (hanya lebih sedikit 20 peratus telah ditandakan ke pasaran), menunjukkan bahawa kerugian belum direalisasi belum lagi ditunjukkan dalam ekuitinya.
“Bon HTM dibawa pada kos terlunas dalam kunci kira-kira memandangkan hasrat untuk memegang sekuriti ini sehingga matang, jadi kerugian penilaian saksama tidak diambil kira dalam modal,” ujarnya.
Tambahnya, kenaikan kadar faedah Bank Negara Malaysia (BNM) yang lebih sederhana dan strategi berhemat bank untuk memegang bon tempoh lebih pendek sejak kebelakangan ini menjadikan kerugian nilai saksama dalam bank Malaysia juga jauh lebih kecil.
“Nisbah modal ekuiti biasa tier-1 industri perbankan domestik kekal pada 14.9 peratus pada akhir 2022 daripada 15.5 peratus pada 2021.
“Kerugian penilaian selanjutnya, jika ada, sepatutnya kurang teruk memandangkan pendirian berhati-hati bank pusat mengenai kenaikan kadar selanjutnya,” jelasnya. – UTUSAN










