Pelabur asing semakin yakin dengan Malaysia - Utusan Malaysia

Pelabur asing semakin yakin dengan Malaysia

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat esok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai  tinggi di negara ini membuktikan keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi dan politik Malaysia, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkara tersebut selaras dengan kehendak Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dibuat untuk memperbetulkan jenis pelaburan yang masuk ke Malaysia supaya bernilai tinggi.

Katanya, Malaysia tidak sesuai lagi menerima pelaburan bernilai teknologi rendah dan menggunakan kos pengeluaran dan buruh yang murah.

 “Selain itu, kita tidak mampu bersaing dgn negara-negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia yang semakin mantap pengurusan serta mempunyai tenaga buruh yang murah.

“Kekuatan yang ada di negara ini adalah dari segi menjadi pengeluar utama semiconductor dan cip mikro dunia yang menjadi kelebihan untuk menarik para pelabur ke Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Amazon Web Services (AWS) akan melabur dalam  infrastruktur serantau baharunya di Malaysia yang bernilai RM25.5 bilion yang sekaligus bakal menyaksikan peningkatan yang lebih besar dalam transformasi digital.

Selain itu, Tesla memutuskan untuk membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Kedua-dua syarikat multinasional dimiliki oleh dua bilionair iaitu Jeff Bezos dan Elon Musk.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kemasukan FDI bernilai tinggi akan membawa kesan positif berganda kepada negara dan rakyat.

“Pelaburan asing akan mewujudkan pekerjaan baharu dan juga memberi sokongan kepada syarikat tempatan atau vendor yang penyediaan perkhidmatan.

“Pelaburan ini juga membuktikan keyakinan pelabur terhadap negara yang semakin meningkat atas dasar kestabilan politik yang dimeterai setelah kewujudan kerajaan perpaduan.

“Ini akan mendorong lebih banyak pelaburan asing terutamanya apabila Malaysia sudah menandatangani dua perjanjian bebas antarabangsa iaitu Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” ujarnya.

Tambahnya, perkara yang boleh dilakukan kerajaan ketika ini adalah menyediakan persekitaran dan infrastruktur yang mesra kepada pelabur asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN