PETALING JAYA: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur selepas berhadapan cabaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Malaysia Petroleum Resources Corp (MPRC) dalam satu kenyataan berkata, meskipun begitu usaha masih diperlukan bagi memastikan syarikat-syarikat OGSE berada pada kedudukan pertumbuhan jangka masa panjang.
Menurutnya, berdasarkan penerbitan tahunan OGSE100 kelapan yang dikeluarkan hari ini, industri OGSE tempatan kembali mencapai keuntungan pada tahun kewangan 2021 (TK2021).
Dalam laporan berkenaan, OGSE mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.2 bilion selepas merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM3.7 bilion tahun sebelumnya.
“Sebanyak 68 peratus industri OGSE melaporkan keuntungan pada tahun kewangan 2021 dengan OGSE100, yang terdiri daripada syarikat-syarikat OGSE terkemuka di Malaysia berdasarkan hasil, menyumbang 90 peratus daripada keuntungan industri.
“Bagi tahun kewangan 2021, OGSE100 melaporkan PBT sebanyak RM3.7 bilion berbanding kerugian RM3.5 bilion pada tahun kewangan 2020,” katanya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd. Yazid Ja’afar berkata, dapatan TK2021 OGSE100 yang lewat setahun disebabkan ketersediaan maklumat syarikat swasta daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), menunjukkan prestasi industri OGSE mencapai titik perubahan pada 2021 selari dengan keadaan ekonomi dan perniagaan yang bertambah baik berikutan pemulihan daripada krisis Covid-19.
Katanya, dengan jumlah industri yang lebih besar, keputusan kewangan syarikat OGSE tersenarai awam bagi tahun kewangan 2022 seperti yang dilaporkan dalam makluman kepada Bursa Malaysia Securities Bhd., turut menunjukkan pemulihan perniagaan antara sebab untuk mereka mencatatkan pendapatan yang bertambah baik.
“Berita-berita positif yang muncul berkaitan pemberian kontrak baharu dan jangkaan untuk kadar yang lebih tinggi juga memberi petanda baik kepada syarikat OGSE.
“Tetapi, peluang yang muncul dan risiko berlarutan seperti peralihan tenaga, keperluan kemapanan yang lebih ketat dan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik Russia-Ukraine, boleh menjejaskan pemulihan industri OGSE pada masa hadapan,” katanya.
Justeru itu, beliau berkata, MPRC menggesa syarikat-syarikat OGSE untuk memanfaatkan inisiatif Pelan Hala Tuju Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 untuk membantu mereka mencapai kestabilan jangka panjang.
“MPRC berfungsi sebagai penjaga Pelan Hala Tuju OGSE, yang direka untuk menyokong syarikat- syarikat OGSE dalam menangani isu struktur legasi industri dan membolehkan nilai tambah yang lebih tinggi untuk pertumbuhan yang mampan,” katanya. – UTUSAN










