PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia meningkat sederhana sebanyak 6.5 peratus kepada RM148.0 bilion pada Januari 2023 berbanding pertumbuhan 8.8 peratus bulan sebelumnya, Disember 2022.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, momentum positif berterusan itu dipacu pertumbuhan dua digit bagi subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain sebanyak 14 peratus dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 10.1 peratus.
Menurut beliau, bagaimanapun nilai jualan yang dicatatkan pada Januari tahun ini merupakan yang terendah direkodkan sejak Mei 2022.
“Nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang merangkumi 71.3 peratus daripada jumlah nilai jualan, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan sebanyak 6.9 peratus pada Januari 2023 berbanding 9.2 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
“Prestasi sederhana ini juga sejajar dengan penyusutan dalam eksport barangan perkilangan pada bulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau lagi, nilai jualan industri berorientasikan domestik turut menyederhana kepada 5.6 peratus berbanding 7.7 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelum.
“Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport terus menyusut bagi empat bulan berturut-turut, mencatatkan negatif 6.9 peratus pada Januari 2023 manakala industri berorientasikan domestik menurun 1.6 peratus,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bilangan pekerja sektor pembuatan, Mohd. Uzir berkata, jumlah berkenaan bertambah sebanyak tiga peratus daripada 2.27 juta yang dicatatkan Disember 2022 kepada 2.34 juta pada Januari 2023.
Katanya, pertambahan berkenaan disumbang oleh kenaikan bilangan pekerja dalam subsektor produk makanan, minuman dan tembakau sebanyak 4.7 peratus; peralatan elektrik dan elektronik 4.3 peratus, dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik 2.1 peratus.
“Selari trend positif bilangan pekerja, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan tumbuh empat peratus, berjumlah RM8.18 bilion pada Januari 2023 dengan purata gaji dan upah setiap pekerja berjumlah RM3,494, mencatatkan kenaikan sebanyak satu peratus tahun ke tahun.
“Tambahan lagi, nilai jualan per pekerja merekodkan nilai sebanyak RM63,200 meningkat 3.4 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN










