PETALING JAYA: Motosikal & Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mengumumkan pembaharuan untuk varian Kriss 110 dan Kriss 110 Disc Brake (DB) 2023.
Syarikat itu memberitahu, moped kegemaran sepanjang zaman itu menerima beberapa ciri baharu termasuk lampu depan yang direka bentuk baharu serta port pengecasan USB untuk kemudahan penunggang.
Selain itu, katanya, kedua-dua varian juga menerima warna dan skema grafik baharu yang dikemas kini dengan harga mampu milik baharu.
“Harga disyorkan (tanpa insuran dan cukai jalan) bagi Modenas Kriss 110 sebanyak RM3,917.00 dan Modenas Kriss ‘Disc Brake’ RM4,437.00.
“Motosikal ini menampilkan enjin dengan teknologi EEV, satu silinder, 4 lejang, SOHC, 108 cc, yang menghasilkan kuasa maksimum 4.9 kW (6.57 hp) / 8000 RPM dan tork maksimum 6.7 Nm / 6000 RPM,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MODENAS, kedua-dua model didatangkan dalam tiga warna dan harga berbeza.
“Motosikal itu akan tiba di semua pengedar sah MODENAS menjelang hujung minggu ini,” jelasnya.
MODENAS adalah syarikat di Malaysia yang merancang, membangun dan mengeluarkan motosikal. Syarikat itu ditubuhkan pada 1995 dan memperkenalkan motosikal moped Modenas pertama pada November 1996 yang diberi nama Kriss 110.
Kriss 110 yang pertama dipamerkan kepada umum semasa perarakan Hari Kebangsaan pada 1996 dan memulakan pengeluaran besar-besaran pada akhir 1996.
Beroperasi di Gurun, Kedah, logo syarikat diilhamkan daripada bayangan Gunung Jerai yang dapat dilihat dengan jelas dari kilang. – UTUSAN










