KUALA LUMPUR: Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Indeks Peralihan Tenaga Forum Ekonomi Dunia (WEF), dengan prestasi sistem dan kesediaan peralihan masing-masing pada 69 peratus dan 60 peratus.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini membuktikan negara berada di landasan yang betul untuk melakukan peralihan tenaga terutamanya dalam sektor tenaga.
Katanya, semua pihak harus melakukan yang lebih baik lagi dalam peralihan tenaga kerana ini melibatkan masa depan generasi akan datang.
“Walaupun hanya berada di belakang Singapura dan Jepun di Asia-Pasifik, kita tidak boleh leka memandangkan masih ada ruang untuk penambahbaikan dari segi kelestarian alam sekitar dan struktur sistem tenaganya berbanding negara-negara lain yang lebih maju.
“Apabila kita membangun dan mengembangkan ekonomi kita, penggunaan tenaga juga akan berkembang untuk memenuhi pengeluaran dan permintaan yang lebih tinggi.
“Ini akan menjadi lazim terutamanya dalam industri yang intensif tenaga seperti pembuatan, perindustrian dan loji pemprosesan,” katanya pada Majlis Penghargaan Anugerah Tenaga Negara (NEA) 2022 di Bukit Kiara di sini malam tadi.
Pada majlis tersebut, sebanyak 23 pemenang dan naib juara NEA 2022 yang telah diumumkan pada 13 September 2022 lalu daripada pelbagai kategori telah diraikan.
Pemenang daripada NEA 2022 itu kemudiannya mewakili Malaysia di Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) 2022, yang mana 12 syarikat menerima anugerah dalam pelbagai kategori.
Nik Nazmi berkata, NEA telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemilik perniagaan dan bangunan untuk mengamalkan amalan tenaga mampan.
“NEA hari ini telah menjadi platform untuk mendidik, mempromosi dan menggalakkan penggunaan amalan tenaga lestari terbaik di pejabat, kilang, bangunan dan institusi kewangan, bagi menyokong aspirasi iklim 2050 Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN








