Malaysia bersaing jadi hab serantau Tesla

Malaysia bersaing jadi hab serantau Tesla

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia kini bersaing dengan Indonesia dan Thailand sebagai hab pengeluaran serantau pertama gergasi kereta elektrik (EV) terkemuka dunia, Tesla selepas pengumuman pembukaan pejabatnya di negara ini Rabu lalu.

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, Tesla mungkin akan memberi tumpuan terutamanya pada ujian pasaran dan pembangunan rangkaian pengecasan EV pada dua tahun ini sebelum membuat keputusan mengenai pilihan hab pembuatan serantaunya.

Katanya, Malaysia memiliki rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E) yang teguh ditambah dengan pendapatan perkapita yang jauh lebih tinggi berbanding dua pesaing utama, yang boleh memacu penggunaan kenderaan elektrik berasaskan bateri (BEV) secara relatif lebih pantas.

“Walaupun penduduk Malaysia secara relatifnya lebih kecil, hakikatnya negara ini adalah pasaran kereta ketiga terbesar di rantau Asia Tenggara.

“Persaingan terbesar secara jelas adalah daripada Indonesia yang mempunyai kelebihan rizab nikel yang besar dan pendekatan yang agresif untuk menarik pelaburan dalam pembuatan bateri, serta populasi dan jumlah keseluruhan industri (TIV) lebih besar.

“Dengan sedikit jumlah jualan yang dijana daripada BEV secara amnya, sukar untuk membayangkan Tesla untuk mewujudkan berbilang kilang pengeluaran dalam satu rantau, sekurang-kurangnya dalam jangka masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Hafriz berkata, terdapat beberapa manfaat yang berpotensi berikutan kemasukan gergasi EV itu ke Malaysia.

Menurutnya, pemasangan rangkaian pengecas super Tesla akan menyumbang kepada sasaran kerajaan untuk mewujudkan 10,000 pusat pengecasan di Malaysia menjelang 2025 di bawah Pelan Tindakan Mobiliti Karbon (LCMB) berbanding hanya 900 unit ketika ini.

“Penubuhan rangkaian perkhidmatan selepas jualan Tesla dan pelbagai pemindahan pengetahuan, pembabitan kontraktor tempatan serta keperluan tenaga kerja tempatan boleh mendorong peningkatan kemahiran tenaga buruh dan korporat tempatan sebagai persediaan untuk peralihan kepada BEV.

“Ketika ini, tidak jelas sama ada kemasukan Tesla akhirnya akan berubah menjadi pemasangan tempatan atau penyumberan komponen EV tempatan, tetapi ini boleh memberikan rangsangan kritikal kepada rantaian bekalan auto domestik sekiranya menjadi kenyataan,” ujarnya.

Tambahnya, Tesla baru-baru ini menubuhkan Tesla Thailand (untuk pengedaran) sebagai sebahagian daripada langkah pengembangannya di ASEAN dengan stesen pengecas super pertama dilancarkan dua hari lalu.

Jelasnya, Thailand memulakan program subsidi EV akhir tahun lalu yang menggabungkan insentif cukai termasuk pengurangan eksais, import dan cukai jalan.

Sementara itu, Indonesia bertindak agresif dalam percubaan untuk menarik pelaburan Tesla ke negara berkenaan termasuk menawarkan konsesi untuk melombong nikel iaitu bahan utama dalam sel bateri lithium-ion.

Indonesia memiliki rizab nikel terbesar di dunia dengan penguasaan global sehingga 25 peratus.

Ketika ini, pasaran EV Malaysia dikuasai oleh dua peserta iaitu Mercedes dan BMW, diikuti Volvo, Mini, Lexus dan Porsche. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN