MAHB catat 8.3 juta pergerakan penumpang pada Februari

MAHB catat 8.3 juta pergerakan penumpang pada Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) mencatatkan pergerakan penumpang sebanyak 8.3 juta pada Februari 2023 untuk kesemua rangkaian lapangan terbangnya, meliputi 3.9 juta penumpang antarabangsa dan 4.4 juta penumpang domestik.

MAHB berkata, walaupun Februari merupakan bulan yang lebih singkat, jumlah pergerakan penumpang terus rancak dan mencatatkan purata penumpang harian yang lebih tinggi sebanyak 1,400 berban­ding Januari 2023.

Katanya, ia didorong oleh cuti sekolah di Malaysia dan juga peningkatan kekerapan penerbangan oleh syarikat pe­nerbangan di Turkiye.

“Di Malaysia, jumlah pergerakan penumpang yang direkodkan oleh lapangan terbang tempatan adalah memberangsangkan pada 5.8 juta penumpang dan dengan purata pergerakan penumpang harian jauh lebih tinggi sebanyak lebih 3,480 penumpang berban­ding Januari 2023.

“Peningkatan sebanyak empat peratus berbanding bulan sebelumnya bagi purata pergerakan penumpang harian an­tarabangsa itu disumbangkan terutamanya oleh pertumbuhan penumpang bagi sektor Korea Selatan, China dan Jepun.

“Walaupun sektor China masih dalam fasa awal pemulihan, pergerakan penumpang untuk sektor itu meningkat sebanyak 61 peratus pada Februari 2023 berbanding Januari 2023,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, pergerakan penumpang domestik turut positif berikutan cuti sekolah dengan lebih 112,000 purata penumpang harian, kira-kira purata paras penumpang harian yang sama yang dilihat pada Januari.

Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye merekodkan jumlah pergerakan penumpang sebanyak 2.5 juta pada Februari 2023.

Jelasnya, pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik masing-masing mencatatkan 1.3 juta dan 1.2 juta penumpang.

“Terdapat sedikit kelembapan dalam trafik harian keseluruhan dalam tempoh lima hingga enam hari pertama selepas gempa bumi melanda selatan dan tengah Turkiye.

“Namun begitu, pergerakan penumpang meningkat dan mencapai pemulihan 92.9 peratus berbanding purata penumpang harian sebelum gempa bumi untuk baki hari Februari,” ujar­nya.

MAHB berkata, Pegasus Airlines juga telah menambah perkhidmatan baharu ke Plovdiv, Bulgaria dengan kekerapan dua kali seminggu mulai 18 Februari 2023. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×