LTAT tawar ambil alih baki 40% saham BHB

LTAT tawar ambil alih baki 40% saham BHB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menawarkan pengambilalihan secara sukarela bersyarat kepada Lembaga Pengarah Boustead Holdings Berhad (BHB) untuk baki 822.5 juta atau 40.58 peratus saham dalam BHB yang tidak dipegang oleh LTAT untuk tawaran tunai sebanyak RM0.855 seunit saham.

Untuk makluman, BHB yang merupakan anak syarikat LTAT di mana LTAT memiliki saham sebanyak 59.42 peratus ialah sebuah konglomerat pelbagai dengan perniagaan teras yang merangkumi sektor perladangan, hartanah, perindustrian, farmaseutikal, industri berat, perdagangan, kewangan dan pelaburan.

Menurut kenyataan, tawaran ini adalah tidak bersyarat pada tahap minimum penerimaan kerana LTAT sudah memegang lebih daripada 50 peratus saham mengundi dalam BHB.

“Namun, tawaran bersyarat ini adalah berlandaskan kelulusan Menteri Kewangan atas syor Bank Negara Malaysia (BNM) dan kelulusan BNM di bawah Seksyen 87 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Seksyen 99 Akta Perkhidmatan

Kewangan Islam 2013 (IFSA) untuk membenarkan Penawar memperoleh sehingga 100 peratus kepentingan ekuiti dalam BHB.

“Selain itu, pengecualian BNM daripada mematuhi Seksyen 110 FSA dan Seksyen 122 IFSA berhubung dengan keperluan untuk LTAT dan/atau syarikat yang dinamakannya diluluskan sebagai syarikat pemegangan kewangan Affin Bank Berhad dan entiti berlesen yang berkaitan.

“Syarat-syarat ini mestilah dipenuhi dalam tempoh 21 hari selepas Tarikh Tutup Pertama, seperti yang ditetapkan dalam Peraturan Pengambilalihan, Percantuman dan Pengambilalihan Wajib yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.

Tawaran tersebut merupakan langkah signifikan bagi LTAT dalam pengambilalihan BHB yang membolehkan fleksibiliti untuk me­laksanakan pelan pemulihan BHB bagi memastikan kemampanan tabung untuk angkatan tentera serta pesara tentera, selaras dengan pelan transformasi LTAT yang sedang dilaksanakan.

Dalam pada itu, LTAT berkata, pada masa ini pihaknya tidak mempunyai sebarang rancangan untuk memberhentikan atau mengstruktur semula pekerja Kumpulan BHB sebagai akibat langsung daripada tawaran tersebut.

“Tawaran ini bukan tawaran mandatori daripada LTAT untuk memperoleh semua baki saham mengundi dalam Affin Bank Berhad, Boustead Plantations Berhad, Boustead Heavy Industries Corporation Berhad dan Pharmaniaga Berhad yang belum lagi dipegang oleh LTAT secara langsung atau tidak langsung.

“Hal ini demikian kerana LTAT telah mempunyai kawalan berkanun ke atas BHB,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN