Lawatan PM ke Arab Saudi, Kemboja mampu lonjak Bursa

Lawatan PM ke Arab Saudi, Kemboja mampu lonjak Bursa Malaysia

ANWAR Ibrahim ketika mengadakan sesi pertemuan bersama kepala industri perniagaan yang terlibat dalam sektor perdagangan serta pelbagai sektor strategik di Arab Saudi, baru-baru ini. - FOTO/PEJABAT PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi minggu lalu dan Kemboja mampu melonjak semula pasaran saham tempatan dan ringgit minggu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKMM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, beberapa pengumuman pelaburan serta perjanjian yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MOA) semasa lawatan berkenaan menarik keyakinan pelabur asing.

Menurut Abu Sofian, ekoran itu beliau menjangkakan Bursa Malaysia akan kembali melonjak melebihi paras 1,400 mata minggu ini selepas ia ditutup pada paras 1,399.70 mata pada penutupan urus niaga Jumaat lalu.

“Kita lihat minggu lalu Perdana Menteri ke Arab Saudi kemudian hari ini (semalam) beliau ke Kemboja dan ini membawa imej beliau sebagai seorang pemimpin yang bekerja keras.

“Pada masa sama juga beliau memperoleh sokongan serta mengeratkan ikatan dengan negara lain dan sudah pasti ia memberi impak positif bukan sahaja kepada pasaran saham tempatan malah juga ringgit,” katanya.

Mengulas lanjut, Abu Sofian berkata, pihaknya mengunjurkan nilai mata wang tempatan berada di antara paras RM4.500 hingga RM4.200 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini selepas ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat.

“Berdasarkan ketidaktentuan pasaran yang meningkat serta prestasi Bursa Malaysia saya anggarkan nilai pertukaran ringgit akan turun paling rendah RM4.500 dan kalau naik RM4.200 berbanding dolar AS,” katanya.

Sementara itu, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menunjukkan prestasi baik apabila menokok 3.2 mata kepada 1,402.90 pada pembukaannya pagi ini.

Bagaimanapun, petunjuk pasaran FBM KLCI itu kemudiannya jatuh kepada 3.10 mata kepada 1,396.60 lebih rendah berbanding paras penutup 1,399.70 pada Jumaat lalu.

Ringgit pula ditutup pada paras 4.4280/4260 berbanding dolar AS selepas dibuka sedikit rendah  pada paras 4.4310/4290 berbanding penutup Jumaat lalu sebanyak 4.4290/4260. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×