KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu melalui Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) membangunkan sebuah jeti dikenali Kuala Terengganu Support Base (KTSB) sebagai hub pertukaran anak kapal untuk industri minyak dan gas di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, KTSB yang terletak di muara Sungai Terengganu bakal beroperasi pada April depan dijangka dapat memberi pulangan pendapatan sebanyak RM6 juta setahun.
“EPIC juga sedang menilai beberapa pasaran berpotensi untuk memanfaatkan sepenuhnya kegunaan KTSB sebagai balai pelepasan dan ketibaan penumpang untuk kegunaan industry minyak dan gas serta pelancongan.
“Selain itu, Kumpulan EPIC juga berjaya mendapatkan kontrak dari sektor perkhidmatan kejuruteraan, melalui anak syarikatnya, EPIC OG Sdn. Bhd. (EOG) yang telah memeterai kontrak aktif bersama ExxonMobil,” katanya kepada pemberita, semalam.
Antara pendapatan lain yang bakal diperolehi EPIC ialah melalui beberapa projek yang diberikan Petronas kepada EOG berkaitan ‘Heat Exchanger’, Pressure Vessel dan perkhidmatan penyelenggaran tanki utiliti.
Tengku Hassan berkata, dalam masa yang sama, EOG juga secara aktif terlibat dalam beberapa bidaan projek minyak dan gas yang berpotensi bagi tahun 2023.
“Pulangan hasil yang disasarkan adalah sebanyak RM70 juta setahun.
“Pengurusan Kumpulan EPIC juga turut memberi perhatian kepada beberapa projek baharu yang berpotensi dan berimpak tinggi kepada syarikat dan negeri Terengganu.
“Salah satunya ialah perkhidmatan kemudahan limbungan pelupusan kapal dan struktur pelantar minyak di Pangkalan Bekalan Kemaman.
“Projek ini akan diterajui oleh salah satu anak syarikat EPIC, iaitu EPIC Marine Service Sdn. Bhd. (EPMS) dan menyasarkan pendapatan tahunan sebanyak RM15 hingga RM30 juta,” katanya. – UTUSAN










