PETALING JAYA: Jaguar Land Rover Malaysia melancarkan Jaguar I-PACE, kenderaan utiliti sukan premium (SUV) elektrik pertamanya untuk pasaran tempatan.
Jaguar I-PACE telah memenangi lebih daripada 80 anugerah di peringkat global, termasuk ‘Kereta Terbaik Dunia’, ‘Reka Bentuk Kereta Terbaik Dunia’ dan ‘Kereta Hijau Dunia’.
Jaguar I-PACE serba baharu boleh didapati dalam dua pilihan model pada harga daripada RM460,800 bagi Hitam LE dan RM498,800 untuk HSE.
Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, Jaguar I-PACE adalah kenderaan serba maju yang mentakrifkan semula segmen SUV EV.
“Kuasa dan dinamiknya menjamin prestasi terulung dan kami menggalakkan pelanggan untuk mendaftar dan mencuba sendiri pengalaman pemanduan luar biasa kereta ini.
“Sebelum ini, pihak Jaguar Land Rover tidak bercadang untuk membawa masuk model ini ke dalam Malaysia kerana duti import dan duti eksais melebihi jangkaan yang sesuai untuk pasaran Malaysia.
“Namun, dengan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan penggunaan EV dan mencapai pengangkutan rendah karbon, rakyat Malaysia juga boleh mengambil kesempatan dengan memiliki Jaguar I-PACE pada harga yang lebih berpatutan menerusi konsesi bebas cukai kerajaan bagi EV CBU.
“Permintaan Jaguar i-Pace kini juga telah melebihi jangkaan kami dan kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi pengecualian duti import dan eksais untuk kenderaan EV,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis pelancaran Jaguar I-Pace di sini, semalam.
Jaguar I-PACE didatangkan dengan tempoh waranti komprehensif selama 5 tahun atau 150,000km, mana lebih awal, dan khidmat bantuan tepi jalan tiga tahun.
Ia termasuk servis percuma sehingga 5 tahun atau 102,000km serta waranti bateri kenderaan elektrik sehingga 8 tahun atau 160,000km, yang mana lebih awal.
Jaguar Land Rover Malaysia juga memberikan kredit percuma RM1,000 dalam aplikasi DC GoToU bagi tempahan yang diterima dalam tempoh pelancaran sehingga 28 Mei ini. – UTUSAN










