PETALING JAYA: Inflasi Malaysia kekal 3.7 peratus pada Februari lalu dengan mata Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan 129.8 berbanding 125.2 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi di Malaysia pada Februari 2023 kekal didorong oleh restoran & hotel yang mencatatkan kadar 7.4 peratus, diikuti makanan & minuman bukan alkohol (7.0 peratus).
Bagaimanapun kata beliau, peningkatan lebih perlahan bagi kumpulan pengangkutan iaitu 3.7 peratus berbanding Januari 2023 (4.0 peratus) yang sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi daripada terus meningkat.
Selain itu katanya, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah pada 3.4 peratus; pelbagai barangan & perkhidmatan (2.5 peratus) dan kesihatan (1.8 peratus).
“Perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain dan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan masing-masing merekodkan peningkatan 1.7 peratus, manakala pendidikan meningkat 1.6 peratus. Kedua-dua minuman alkohol & tembakau dan pakaian & kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 0.4 peratus berbanding Februari 2022,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Uzir menambah, daripada 230 item makanan, sebanyak 203 item atau 88.3 peratus telah merekodkan kenaikan harga.
Beliau berkata, hujan lebat berterusan sejak akhir Disember 2022 hingga Februari 2023 di beberapa negeri, telah mendorong kepada kenaikan harga makanan, terutama sayur-sayuran.
Katanya, kesan daripada perubahan monsun itu, inflasi bagi subkumpulan sayur-sayuran telah mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.8 peratus berbanding 1 peratus pada Januari 2023.
Beliau menambah, inflasi pengangkutan turut meningkat namun lebih perlahan kepada 3.7 peratus daripada 4.0 peratus pada Januari 2023, disebabkan peningkatan sederhana subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian kepada 2.9 peratus daripada 3.3 peratus bulan sebelumnya.
Bagi peringkat negeri pula, enam negeri merekodkan inflasi lebih tinggi melebihi paras nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya pada kadar 4.7 peratus, diikuti Selangor (4.3 peratus), Johor (4.1 peratus), Sarawak (4.0 peratus), Pahang (4.0 peratus) dan Perak (3.8 peratus).
“Sementara itu, inflasi bagi kumpulan pendapatan di bawah RM3,000 meningkat 3.7 peratus daripada 126.0 pada Februari 2022 kepada 130.7 pada Februari 2023. Peningkatan ini disumbangkan oleh kumpulan makanan & minuman bukan alkohol sebanyak 6.5 peratus.
“Peningkatan ini terutamanya direkodkan oleh subkumpulan daging (9.5 peratus), diikuti oleh susu, keju & telur (6.1 peratus) dan beras, roti & bijirin lain (6.0 peratus).
Sementara itu, AmBank Economic Research dalam nota kajiannya berkata, kadar inflasi itu melepasi jangkaan pasaran sebanyak 0.1 peratus, dan bulan ke bulan pula, ia meningkat 0.2 peratus.
Bank berkenaan mengekalkan kadar inflasi pada 3.0 peratus tahun ini, didorong oleh harga komoditi yang lebih rendah berbanding tahun lalu.
AmBank turut menjangkakan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada tahun ini, bagi membendung kenaikan inflasi.
“Kami jangkakan kenaikan pada Mei, selepas ditangguhkan pada Januari dan Mac,” katanya. – UTUSAN










