PETALING JAYA: Bank dunia mendapati hanya 10.5 peratus firma Malaysia terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam tempoh tiga tahun kebelakangan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, jumlah produk baharu yang diperkenalkan dalam tempoh berkenaan juga berada di paras rendah sebanyak 3.5 peratus.
Menurut Rafizi, Malaysia juga turut ketinggalan dari segi permohonan paten tempatan yang menjadi penanda inovasi berbanding pesaing lain di samping kadar pengkomersialan R&D kekal, tidak berubah.
“Saya tidak meragui ketersediaan masyarakat Malaysia dalam mengadaptasi teknologi terkini dan kita tidak mempunyai masalah menjadi pengguna dan penerima pakai namun kita jarang menganggap diri kita sebagai pencipta, pereka cipta dan penginovasi.
“Setiap kali kita menyebut perkataan ‘inovasi’, ramai rakyat Malaysia serta-merta memikirkan kemahiran digital robotik, pengkomputeran awan, kejuruteraan genetik, nanoteknologi dan seumpamanya yang kompleks dan sukar diperolehi dan merasa tidak bersedia menerima pakainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Program Inovasi Digital United Kingdom (UK) – Malaysia di Hotel Sunway Resort, di sini, hari ini.
Justeru itu, Rafizi menyifatkan usaha membawa masuk syarikat pemula UK ke negara ini bakal mendedahkan syarikat tempatan dengan amalan terbaik global dan mewujudkan persaingan sihat serta tekanan untuk berinovasi.
“Anak muda Malaysia akan melihat sendiri bagaimana syarikat pemula dengan saiz serupa dengan mereka, dengan idea yang mungkin untuk mereka, beroperasi di tempat yang biasa bagi mereka mampu membuat perubahan dan berinovasi.
“Ini akan memberi mereka keyakinan diri yang diperlukan dan mewujudkan perasaan untuk keluar dari dari kepompong mereka sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kerajaan mengiktiraf sepenuhnya pertumbuhan ekonomi dan kemapanan alam sekitar bersesuaian dengan matlamat dan boleh diusahakan secara serentak.
“Apa yang kerajaan kita boleh janjikan adalah untuk memastikan pintu kita terbuka kepada bantuan luar melalui pelaburan, kepakaran dan peluang menang-menang selain mewujudkan ekosistem yang menyokong model pertumbuhan berasaskan inovasi,” katanya. – UTUSAN










