Dividen KWSP dijangka lebih rendah

Dividen KWSP dijangka lebih rendah

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2022 dijangka lebih rendah, sekali gus bakal memberi cabaran kepada pencarum untuk mencapai jumlah minimum persaraan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, sekiranya itu berlaku kerajaan perlu mengambil keputusan tegas untuk tidak membenarkan pengeluaran KWSP.

“Untuk selesa, pencarum perlu ada sekurang-kurangnya RM240,000 di dalam akaun KWSP mereka, namun dengan keadaan semasa kebanyakkan daripada mereka kini mempunyai jumlah kurang daripada itu.

“Sesuatu harus difikirkan dan tindakan kerajaan membuat keputusan bahawa tiada lagi pengeluaran merupakan usaha yang baik bagi memastikan pencarum mampu mengekalkan simpanan yang mencukupi untuk kegunaan mereka di hari tua kelak,” katanya.

Mengulas agihan dividen KWSP bagi tahun 2022 dijangka diumumkan dalam waktu terdekat, Shazida Jan berkata, beliau menjangka kemungkinan ia sedikit rendah berbanding 2021 atas beberapa faktor.

Katanya, kebimbangan akibat pengeluaran KWSP sebelum ini mungkin tidak memberi kesan ketara kepada hasil keseluruhan dividennya bagi 2022.

“Jangkaan saya akan sedikit rendah memandangkan ke­adaan semasa tetapi masih di tahap baik dan mungkin juga akan kekal atau tidak setinggi 6.1 peratus pada tahun 2021 mahupun mengatasi dividen tertingginya pada 2017 seba­nyak 6.9 peratus.

“Strategi pelaburan jangka panjang KWSP dilihat masih mampu menangani cabaran walaupun pada 2021 kita lihat caruman beralih negatif dengan mengambil kira pengeluaran yang berlaku,” katanya.

Tambah beliau, prestasi kurang selesa dalam indeks saham global juga akan mempengaruhi pulangan pelaburan KWSP memandangkan 33 peratus pelaburan turut melibatkan pelaburan luar negara.

Pada 2021, pengurus dana persaraan itu mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah.

KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, menurun 18 peratus atau RM8.71 bilion berban­ding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2021.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga 2022 berakhir 30 September 2022 berjumlah RM12.32 bilion, merosot RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bi­lion pada suku ketiga 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN