BEIJING: Syarikat minyak China, China National Offshore Oil Corporation (CNOOC) dilaporkan telah menemui telaga minyak di Laut Bohai dengan simpanan dianggarkan lebih daripada 100 juta tan.
Menurut syarikat itu, medan telaga baharu itu boleh menghasilkan lebih daripada 20 juta tan minyak mentah dan lebih dari sembilan bilion meter padu gas asli, lapor Xinhua.
China dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah meningkatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas domestik kerana permintaan melonjak, didorong oleh kadar pertumbuhan ekonomi negara yang pantas.
Usaha ini telah diterajui oleh syarikat besar milik kerajaan seperti China National Petroleum Corporation (CNPC) dan CNOOC.
“Bozhong 26-6 adalah penemuan medan minyak ketiga dengan ratusan juta tan rizab di selatan Laut Bohai selepas Kenli 6-1 dan Kenli 10-2. Ia dikenal pasti sebagai medan minyak metamorfik terbesar di China,” kata Timbalan Ketua Jurutera Penerokaan CNOOC, Xu Changgui, lapor Majalah Offshore.
Kata beliau, CNOOC akan terus mencari penemuan prospektif berskala besar di Laut Bohai, di luar pantai timur China.
“Laut Bohai telah menjadi antara kawasan yang menjadi sasaran penerokaan bagi Syarikat. Kami akan terus mencari medan minyak dan gas bersaiz sederhana hingga besar dan menemui momentum baharu untuk pembangunan minyak dan gas luar pesisir,” katanya.
Tahun lepas, CNOOC mengumumkan apa yang dikatakan sebagai penemuan minyak dan gas syal luar pesisir pertama di Laut China Selatan, dengan simpanan dianggarkan sebanyak 8.76 bilion tong minyak.
Selain itu, Sinopec, satu lagi syarikat minyak negara, turut mengumumkan penemuan yang lebih besar, di darat. Menurut syarikat itu, penemuan Lembangan Tarim boleh menampung sebanyak 1.7 bilion tan minyak mentah. – AGENSI










