Bursa kembali pulih, sentimen pelabur positif

Bursa kembali pulih, sentimen pelabur positif

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas kejatuhan pertama di bawah paras 1,400 mata dalam tempoh lima bulan, Bursa Malaysia kembali meningkat semalam, berikutan perubahan sentimen pelabur yang positif dan kenaikan kukuh di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada pukul 9 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka 6.27 mata lebih baik pada 1,400.10 sebelum ditutup pada 1,405.42, meningkat 11.59 mata.

Suasana pasaran juga bertukar positif dengan 588 kaunter untung mengatasi 296 kaunter rugi, manakala 385 kaunter tidak berubah, 979 tidak diniagakan dan 10 kaunter yang lain digantung.

Selain itu, saham bank-bank yang mengalami kerugian semalam turut meningkat antaranya Hong Leong Bank Bhd. naik dua sen kepada RM20.00, CIMB Group Holdings Bhd. naik enam sen kepada RM5.23, RHB Bank Bhd. naik lima sen kepada RM5.53 dan Malayan Banking Bhd. naik satu sen kepada RM8.35 pada penutupan pukul 5 petang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, kejatuhan sebelum ini adalah disebabkan keyakinan pelabur sedikit goyah apabila beberapa bank di Amerika Syarikat (AS) mengalami krisis kecairan yang teruk.

Ujarnya, ia juga menyebabkan ketidakpastian pasaran dan mengakibatkan kejatuhan dalam pasaran seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Bagaimanapun, selepas le­bih banyak maklumat diperolehi di mana krisis tersebut hanya melibatkan bank-bank tertentu dan bukannya keseluruhan sistem perbankan, sentimen berubah positif.

“Kebanyakan pelabur tidak melihat krisis ini boleh bertukar lebih teruk seperti yang berlaku pada 2008. Selain itu, ia juga tidak memberi impak besar kepada institusi perbankan negara kerana kita lebih bersifat domestik dan tiada syarikat Malaysia melabur dalam bank-bank tersebut,” katanya.

Kelmarin, Bursa Malaysia jatuh di bawah 1,400 pada 1,393.83, paras terendah hampir lima bulan sejak 13 Oktober 2022 berikutan keruntuhan bank AS, Silicon Valley Bank (SVB) yang merupakan antara bank terbesar di negara itu.

Masalah di bank itu meningkat selepas kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) yang berlanjutan selama setahun bermakna sekuriti yang dimilikinya dijual pada harga yang jauh lebih rendah, masalah yang mungkin akan dihadapi oleh bank-bank lain.

Sementara itu, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, keadaan bertambah baik di AS memberi sedikit kelegaan kepada pelabur sekali gus membantu memulihkan pasaran Bursa Malaysia.

“Krisis bank terjejas ini adalah fenomena biasa di AS. Terlampau jauh untuk kita risau kerana tiada bank di Malaysia yang terlibat secara langsung dengan SVB.

“Peningkatan di Bursa Malaysia hari ini (semalam) adalah sebagai satu usaha menstabilkan pasaran. Pelabur yang bimbang semalam lebih yakin dengan pasaran kita dan penyenaraian sebuah syarikat baharu hari ini juga membantu melonjakkan pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN