PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) melancarkan jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Singapura.
Jalinan pembayaran itu akan membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow dan NETS.
DuitNow QR ialah penyelesaian kod QR nasional di Malaysia yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet). NETS QR pula penyelesaian kod QR yang dikendalikan oleh rangkaian pembayaran
elektronik Singapura, NETS.
DuitNow QR dan NETS QR membolehkan peniaga menerima bayaran daripada pelanggan bank dan pengendali e-dompet berbeza yang mengambil bahagian dengan menggunakan kod QR yang seragam.
“Jalinan ini akan menyokong pembayaran secara bersemuka oleh pengguna melalui pengimbasan kod QR fizikal yang dipaparkan oleh peniaga serta transaksi e-dagang rentas sempadan secara dalam talian.
“DuitNow-NETS QR kini saling berhubung, pelawat boleh mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga untuk membuat pembayaran antara Malaysia dengan Singapura
“Perkhidmatan pemindahan dana individu-ke-individu (P2P) dijangka tersedia menjelang akhir tahun,” jelas BNM dalam kenyataan. – UTUSAN










