Agihan pendapatan ASB2 5.0 sen, ASM 4.50 sen

Agihan pendapatan ASB2 5.0 sen, ASM 4.50 sen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM) masing-masing sebanyak 5.0 sen dan 4.50 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) itu berkata, pulangan kedua-dua dana tersebut mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.52 peratus sebanyak 248 mata asas untuk ASB 2 dan 198 mata asas untuk ASM.

ASNB berkata, bagi dana harga tetap, ASB2, jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM0.62 bilion, memanfaatkan 513,244 pemegang unit yang kini memiliki 12.42 bilion unit.

Sementara itu, pembayaran agihan pendapatann ASM pula adalah sebanyak RM1.02 bilion, kepada 575,351 pemegang unit dengan pegangan 22.74 bilion unit.

Katanya, sehingga 28 Mac 2023, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM536.09 juta, manakala ASM mencatatkan RM784.83 juta.

“Pendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh melalui keuntungan, dividen serta sumbangan pendapatan lain terealisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi dan kebimbangan terhadap kemelesetan global yang meningkat.

“Kedua-dua dana juga telah mendapat manfaat daripada strategi kepelbagaian portfolio masing-masing dengan peningkatan peruntukan dalam instrumen pendapatan tetap seiring dengan peningkatan keluk kadar hasil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

Jelasnya, pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana itu akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2023.

“Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet telah ditangguhkan sementara dari 28 hingga 31 Mac 2023 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

“Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2023, atau di mana-mana cawangan serta ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 3 April 2023,” ujarnya.

Tambah ASNB, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 Februari lalu, PNB memaklumkan had pelaburan individu dalam ASB dan ASB 2 ditingkatkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 setiap satu, akan berkuat kuasa pada April 2023 tertakluk kepada kelulusan badan kawal selia.

“Peningkatan had pelaburan itu merupakan langkah positif dan sejajar dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN