AAX kembali terbang ke Shanghai

AAX kembali terbang ke Shanghai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: AirAsia X (AAX) menyambung semula perkhidmatannya ke Shanghai, China dengan empat penerbangan mingguan dari Kuala Lumpur bermula kelmarin.

Menurut syarikat itu, penerbangan sulung pasca-pandemik dari Kuala Lumpur berlepas dengan muatan penumpang yang menggalakkan, manakala penerbangan pertama dari Shanghai semalam, mencatatkan muatan hampir 100 peratus.

Jelasnya, ia menunjukkan permintaan perjalanan ke luar negara yang ketara daripada pasaran China.

“Berdasarkan permintaan yang menggalakkan dan pelonggaran sekatan kemasukan ke China, AAX merancang untuk meningkatkan kapasiti dan kekerapan perkhidmatan ke Shanghai kepada 11 penerbangan mingguan menjelang suku kedua pada tahun ini, sama seperti kekerapan pra-pandemik,” katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX Malaysia, Benyamin Ismail berkata, AAX berbesar hati untuk kembali ke China dan meraikan penyambungan semula itu yang merupakan destinasi popular dari segi sejarah perkhidmatan.

Katanya, AAX juga telah memulakan perkhidmatan penerbangan mingguan ke Hangzhou yang mencatatkan muatan sebanyak 97 peratus ke Kuala Lumpur.

“China adalah salah satu daripada ekonomi utama dunia dan pembukaan semula penerbangan ke China adalah tanda positif bagi AAX dan industri pelancongan secara amnya.

“Memandangkan China baru sahaja mula dibuka semula, proses pemulihan perkhidmatan penerbangan masih dalam tahap permulaan. Walaubagaimanapun, kami tetap optimis bahawa permintaan perjalanan ke China akan kembali pulih ke tahap pra-pandemik dalam masa terdekat,” katanya.

Tambah beliau, apa yang paling penting, AAX melihat permintaan yang tinggi daripada pelancong China yang akan meningkatkan pemulihan syarikat dan memacu industri pelancongan tempatan di kedua-dua destinasi.

“Kami berharap untuk memulakan semula lebih banyak penerbangan ke/dari China dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN