Untung bersih Senheng jatuh kepada RM60.6 juta pada 2022

Untung bersih Senheng jatuh kepada RM60.6 juta pada 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senheng New Retail Berhad (Senheng) mencatatkan untung bersih sebanyak  RM60.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, jatuh 7.2 peratus daripada  RM65.3 juta yang dicatatkan bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Senheng dalam kenyataannya berkata, untung bersih lebih rendah berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi untuk pengembangan berterusan Kumpulan, serta peningkatan cukai tertunda bagi tahun tersebut.

Bagi tempoh yang sama, syarikat merekodkan pertumbuhan hasil sebanyak RM1.6 bilion, 8.3 peratus lebih tinggi daripada RM1.4 bilion bagi tahun sebelumnya, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk elektronik pengguna di seluruh kedai runcitnya.

Sementara itu, Senheng melaporkan penyusutan 32.6 peratus keuntungan bersih Kumpulan kepada RM21 juta pada suku keempat daripada RM31.2 juta bagi suku sama tahun sebelumnya, berikutan sentimen pengguna yang memberi kesan kepada jualan runcit.

Dalam pada itu, Kumpulan juga mencatatkan perbelanjaan operasi dan pentadbiran yang lebih tinggi.

Pada suku tersebut, perbelanjaan pengguna di negara ini perlahan apabila kadar faedah terus meningkat, menjejaskan hasil Kumpulan suku keempat yang turun sebanyak 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM444.2 juta, daripada RM456.4 juta suku sama tahun sebelumnya.

“Perbelanjaan operasi yang lebih tinggi pada suku tersebut juga disebabkan oleh peningkatan kos yang berkaitan dengan pertumbuhan dalam kedai baharu dalam usaha syarikat menguasai lebih banyak bahagian pasaran dalam sektor elektronik pengguna,” katanya.

Jelasnya, Kumpulan akan meneruskan pelan pengembangan pada 2023 dan akan melancarkan 66 kedai baharu atau dinaik taraf, peningkatan ketara daripada 16 kedai baharu atau dinaik taraf pada 2022.

Kedai baharu atau dinaik taraf yang dirancang untuk 2023 termasuk 40 kedai Senheng Mobile, saluran runcit baharu Kumpulan terdiri daripada kedai alat digital untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam segmen tersebut.

Pengerusi Eksekutifnya, Lim Kim Heng berkata, syarikat terus mencatatkan jualan yang memberangsangkan walaupun berdepan sentimen negatif pengguna yang membuktikan daya tahan dan kedudukan kukuh syarikat sebagai peruncit elektronik pengguna terbesar di negara ini.

“Kami melihat peluang yang luas masih dalam ruang elektronik pengguna dan alat mudah alih. Oleh itu, kami memulakan strategi pengembangan serampang dua mata pada 2023 untuk meningkatkan penguasaan pasaran dan jualan kami.

“Strategi pengembangan agresif kami pada 2023 dipacu oleh kepercayaan kami terhadap peluang untuk menguasai peningkatan bahagian pasaran walaupun pasaran menghadapi masalah. Kami juga percaya pada ekuiti jenama kami yang kukuh dalam kalangan pengguna.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN